WST Tokyo 2023: Lima perkara dipelajari pasukan The Razkals dari Malaysia

Ian Johan Ariff
Disember 21, 2023 17:19 MYT
Momo (kiri) bersama Mahathir di Tokyo untuk menimba pengalaman bermain di pentas dunia. - Foto/ Ian Johan Ariff
PASUKAN papan selaju profesional, The Razkals bersedia untuk meneruskan pembangunan atletnya, Momo Khan, 13, dan Mahathir Nor Daniel, 14, selepas berjaya menjadi wakil negara yang pertama menyertai kelayakan Olimpik di Tokyo baru-baru ini.
Untuk memecahkan dominasi jaguh skateboarding Jepun, Sora Shirai, Kairi Natsuke dan Yuto Horigome yang menguasai podium Kejohanan Dunia Street Papan Selaju Tokyo 2023, perancangan yang rapi perlu dibuat segera untuk mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia.
Situasi sama berlaku dalam kategori wanita apabila Jepun menguasai podium dengan Yumeka Oda dan Momiji Nishiya masing-masing mendapat tempat pertama dan ketiga.
Pengurus pasukan The Razkals, Shahrizul Ikwan menyenaraikan lima perkara yang perlu dilakukan pasukan Malaysia untuk mencapai sasaran layak ke Olimpik Los Angeles 2028.
1. Latihan yang konsisten di luar negara
Atlet muda negara perlukan latihan yang konsisten dengan beraksi di luar negara dan menimba pengalaman dengan pemain-pemain terbaik.
Kebanyakan pemain papan selaju terbaik di negara ini sudah selesa dengan apa yang dicapai dan sudah mencapai puncak prestasi selain dilambung dengan penaja-penaja yang tidak menjamin pulangan dalam jangka masa panjang.
2. Pasukan pengurusan terlatih
Kontinjen Malaysia tidak mempunyai jurulatih untuk membantu atet negara dari segi mental dan fizikal.
Selain itu, pasukan negara juga memerlukan seorang yang berkemampuan melakukan analisis setiap atlet yang beraksi dalam kejohanan yang disertai.
Malaysia juga tidak mempunyai jurulatih kecergasan bertauliah dan pasukan perubatan yang bersama-sama dengan kontinjen negara.
Shahrizul berharap Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat membantu pasukan ini di masa hadapan.
3. Pendedahan awal komuniti terhadap papan selaju
Untuk melahirkan dan memupuk budaya papan selaju di negara ini, pendedahan perlu bermula seawal usia tiga dan empat tahun, seperti Momo yang mula berjinak dengan papan selaju sejak bayi lagi.
Pembangunan skateboarding di Jepun bermula pada usia tiga dan empat tahun, selain sukan papan selaju dipromosi secara besar-besaran di Jepun bersama sektor korporat.
4. Gelanggang papan selaju bertaraf dunia
Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya satu gelanggang papan selaju ataupun skate park bertaraf Olimpik untuk pemain-pemain negara meneruskan latihan di negara ini selepas mendapat pendedahan di luar negara.
Skate park yang dibina boleh menyesuaikan diri atlet tersebut dengan pertandingan antarabangsa peringkat Olimpik.
5. Menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di Malaysia
Kejohanan Dunia di Tokyo yang dianjurkan di Tokyo baru-baru ini membariskan ramai atlet profesional antarabangsa.
Secara tidak langsung, ia memberi impak yang bagus pada pemain tuan rumah dan mempengaruhi peminat sukan ini untuk menjadi seperti idola mereka di kejohanan tersebut, seperti yang berlaku semasa Malaysia menjadi penganjur Asian X Games (X Games Asia) satu ketika dahulu.
Kejohanan Dunia Street Papan Selaju Tokyo 2023 merupakan salah satu jelajah dunia sukan papan selaju untuk mengutip mata ranking ke temasya Olimpik.
#the razkals #wst tokyo 2023 #Papan Selaju #Sora Shirai
;