WOW bantu penunggang basikal wanita bina jaringan sosial

Bernama
Mac 11, 2024 11:00 MYT
Objektif WOW ialah menghimpunkan wanita untuk berkayuh dalam kumpulan, bersosial dan saling menyokong serta memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menghormati penunggang basikal. - Gambar fail BERNAMA
PUTRAJAYA: Bersukan menyihatkan badan dan juga mental, namun bagi sesetengah ahli masyarakat, terutama wanita, ada sahaja halangan yang membuatkan mereka mengetepikan niat untuk melakukan aktiviti itu.
Antara perkara yang sering membatasi mereka untuk bersukan adalah faktor keselamatan serta ketiadaan rakan "sekepala".
Sedar akan hal itu, program Women on Wheels (WOW) - program berbasikal melibatkan kaum Hawa - yang berlangsung di sini pada 2 Mac lepas - menyasarkan pembentukan jaringan sosial bagi membolehkan mereka meneruskan kegiatan tersebut pada masa luang.
Pertama kali dianjurkan pada 2021, WOW diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada setiap 8 Mac, dan merupakan program anjuran bersama dua kelab berbasikal - South Puchong Cycling Club (SPCC) dan AFG - serta kedai basikal QB Cycle Service Bay, dengan tujuan menggalakkan lebih ramai wanita menyertai aktiviti itu secara selamat dan berdisiplin.
KIKIS RASA SEGAN
Pengasas WOW Dilla Ramli berkata ketika diadakan buat pertama kali, program itu hanya disertai oleh kira-kira 30 orang, namun sejak dua tahun belakangan ini, jumlah penyertaan meningkat kepada lebih 150 orang.
"Sambutan yang semakin menggalakkan ini menggembirakan kami kerana WOW semakin dikenali dan berjaya menarik minat wanita untuk menceburi kegiatan berbasikal demi kesihatan fizikal dan mental serta meningkatkan keyakinan diri," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, beliau berkata tumpuan program kali ini ialah membantu wanita menepis rasa segan berkayuh dalam kumpulan, terutama ketika berbasikal bersama-sama penunggang lelaki.
"Objektif WOW ialah menghimpunkan wanita untuk berkayuh dalam kumpulan, bersosial dan saling menyokong.
"WOW juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat umum supaya menghormati penunggang basikal, terutama golongan wanita," katanya, menambah program turut bertujuan menghapuskan diskriminasi terhadap kaum Hawa yang aktif bersukan, terutama dari segi layanan.
Dilla berkata menerusi program itu, penganjur juga berharap dapat menyatukan kaum wanita daripada pelbagai latar belakang agar mereka dapat berkongsi pengalaman serta memupuk hubungan yang positif, dan seterusnya membina jaringan sosial yang teguh bagi memberikan sokongan antara satu sama lain.
"Kita adakan program ini setiap tahun bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan kaum Hawa dalam masyarakat," jelas beliau.
LIBATKAN LELAKI
Pada masa sama, Dilla berkata WOW turut mengundang pengayuh basikal lelaki bagi membantu dari segi teknikal dan juga aspek keselamatan penunggang wanita.
"Mereka hadir untuk memberi sokongan, memainkan peranan sebagai marsyal bermotor dan berbasikal. Pendek kata, mereka hanya memainkan peranan di belakang tabir kerana yang mahu kita ketengahkan adalah penunggang wanita," katanya.
Bagaimanapun katanya, majoriti peserta wanita dalam WOW adalah penunggang basikal berpengalaman.
Senada, Pengurus Projek WOW Dr Syazana Alia Sabrudin berkata WOW 2024 menyaksikan penyertaan beberapa penunggang basikal yang sudah lama berkecimpung dalam bidang itu dan memainkan peranan mereka menerusi perkongsian pengalaman dengan peserta yang baru berjinak-jinak dalam kegiatan berkenaan.
"Orang selalu ingat kegiatan berbasikal ini didominasi oleh lelaki, tetapi sebenarnya kita ada penunggang wanita yang sangat berpengalaman dan mereka berkongsi tip berbasikal dengan selamat di jalan raya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata buat pertama kali juga penganjuran WOW mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan.
"Oleh yang demikian, kita akan pastikan WOW yang akan datang diisi dengan pelbagai program termasuk pemeriksaan kesihatan untuk wanita," ujarnya.
GAYA HIDUP SIHAT
Bagi seorang peserta, walaupun sudah berusia hampir enam dekad, Wendy Chew tidak ada masalah untuk aktif berbasikal.
"Ini kali pertama saya sertai WOW dan saya dapat tahu tentang program ini daripada sosial media," kata Chew, 59.
Menurutnya, beliau juga menyertai program itu seorang diri kerana tidak mempunyai rakan "sekepala".
"Walaupun seorang sahaja, saya gigihkan diri untuk datang kerana WOW bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat selain memperkasakan wanita melalui sukan agar mereka lebih yakin dan berani dalam mendepani kehidupan.
"Saya melihat WOW sebagai satu platform yang bagus dalam menggalakkan lebih ramai wanita bersukan, bukan seperti zaman dahulu, iaitu wanita hanya dilihat sebagai kumpulan yang terperap di rumah," katanya, menambah peranan wanita sekarang juga sudah jauh berubah dengan semakin ramai yang berkemampuan memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
Pemilik kedai QB Cycle Service Bay Nur Hazwany Halim pula berkata sebagai seorang penunggang basikal sejak lebih 10 tahun lalu, beliau amat memahami masalah yang dihadapi oleh kaum Hawa yang berkayuh dalam kumpulan.
"Saya dapati ada penunggang yang ketinggalan (dari segi stamina) dan ada juga yang segan apabila berkayuh dalam kumpulan besar. Program ini dapat membina keyakinan diri kaum Hawa kerana mereka berkayuh sesama mereka," katanya, menambah jumlah wanita yang terlibat dalam aktiviti berbasikal juga kian bertambah.
-- BERNAMA
#WoW #berbasikal #Hari Wanita Antarabangsa #Women on Wheels
;