Wolves tempelak pengadil gagal beri sepakan penalti
Astro Arena
Ogos 15, 2023 11:48 MYT
Ogos 15, 2023 11:48 MYT
BOS pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), Jon Moss, meminta maaf kepada Gary O'Neil dan memberitahunya bahawa Wolves telah dinafikan sepakan penalti pada masa kecederaan dalam kekalahan 0-1 kepada Manchester United di Old Trafford, awal pagi tadi.
Penjaga gol pertama United, Andre Onana, menerpa Sasa Kalajdzic tetapi pengadil bertugas, Simon Hooper, tidak bertindak balas sementara pengadil video bantuan pengadil (VAR), Michael Salisbury, menganggap tiada pelanggaran dalam insiden tersebut.
Justeru, O'Neil berasa kesal, apatah lagi dia menerima permohonan maaf segera daripada Moss.
"Saya baru sahaja bercakap dengan Jon Moss, dia bergegas untuk mengatakan bahawa ia adalah sepakan penalti yang jelas dan ia sepatutnya diberikan.
“Saya telah menghabiskan banyak hari untuk cuba memahami garis panduan baru dan cara mengelak daripada dihukum pengadil tetapi saya gagal.
“Moss berkata ia jelas satu kekasaran dan dia tidak percaya pengadil di atas padang tidak memberikannya selain tidak percaya bahawa tiada campur tangan VAR.
"Sejujurnya, ia mungkin membuatkan saya berasa lebih teruk kerana apabila anda tahu anda di pihak betul, maka anda berasa lebih teruk untuk pulang dengan tangan kosong," katanya.
Pengurus United, Erik ten Hag, pula mengelak daripada memperbesarkan insiden itu, malah berpendirian ia satu keputusan yang tepat.
“Apabila VAR melihatnya dan memutuskan untuk tidak memberikannya sudah tentu kami gembira,” kata pengurus kelahiran Belanda itu.
“Ia mengenai pengadil dan VAR. Saya rasa kedua-dua pemain itu berlaga tetapi Andre tidak mengganggu permainan memandangkan Andre juga menyentuh bola.” - Stadium Astro