Witchcraft terus penguasaan di RLIR 2024

Bernama
Januari 17, 2024 05:30 MYT
Witchcraft mendahului perlumbaan kategori utama selepas dua hari bersaing, sekali gus meninggalkan tiga pasukan tuan rumah, 'The Next Factor', 'Uranus' dan 'Zuhal' - Facebook Royal Langkawi International Regatta
LANGKAWI: Pasukan Witchcraft dari Hong Kong terus mengungguli kategori Racing selepas memenangi tiga perlumbaan berturut-turut pada hari kedua Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2024 di sini semalam.
Witchcraft, dikemudi, Nick Burns, mengumpul dua mata penalti selepas memenangi perlumbaan pertama dan kedua pada Selasa, mempamerkan corak pelayaran konsisten untuk berada di kedudukan pertama dengan lima mata penalti.
Pasukan itu mendahului perlumbaan kategori utama selepas dua hari bersaing, sekali gus meninggalkan tiga pasukan tuan rumah, 'The Next Factor', 'Uranus' dan 'Zuhal' yang masing-masing mengumpul 10, 15 dan 20 mata penalti.
Jurumudi berpengalaman, Burns berkata pasukannya berjaya mengekalkan momentum dengan kelajuan angin yang cukup baik sekitar 18 knot untuk terus menungguli perlumbaan dan berharap keadaan tiupan angin terus kekal pada saingan hari ini.
Sementara itu dalam kelas IRCI, wakil Malaysia, Mata Hari, yang berada di kedudukan kedua pada Selasa, berjaya mengikat kedudukan mata dengan pasukan Char Chan selepas empat perlumbaan.
Pada perlumbaan ketiga dan keempat, Mata Hari berkongsi tujuh mata penalti dengan pasukan Char Chan dari Jepun, diikuti pasukan Endeavour of Whitby dari Australia dan pasukan Phoenix dari Thailand yang kedua-duanya berkongsi 15 mata penalti.
Sementara itu, pasukan PDRM/Team Sham (Nijinsky) dari Malaysia di kedudukan kelima dengan 21 mata penalti, diikuti pasukan Belt Road Beihai Venture dari China (23 mata penalti) dan pasukan Red Rum One (No Spin) dari Singapura dengan 24 mata penalti.
Jurumudi Mata Hari, Vincent Chan berkata kelajuan angin sekitar 18 hingga 19 knot pada perlumbaan ketiga menyukarkan pasukannya untuk mengatasi Char Chan yang memiliki kelebihan berikutan kapal yang lebih besar dan sesuai dengan keadaan angin kencang.
"Kami ketinggalan 15 saat di belakang Char Chan pada perlumbaan ketiga, bagaimanapun, pada perlumbaan keempat, permulaan yang baik buat kami kerana angin sekitar sembilan hingga 12 knot membolehkan kami mendahului perlumbaan dari mula sehingga tamat perlumbaan.
"Prestasi Char Chan pada perlumbaan keempat kurang memuaskan berikutan mereka berdepan dengan masalah...kru kami ada melakukan beberapa kesalahan, bagaimanapun ia dapat diatasi dengan pantas dan segera," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Royal Langkawi Yatch Club (RLYC) di sini.
Katanya, perlumbaan hari ketiga hari ini merupakan hari penting buat pasukannya di mana perlumbaan mengelilingi pulau akan diadakan dan berharap keadaan angin tidak terlalu kuat supaya ia memberi kelebihan kepada Mata Hari memintas pendahulu.
-- BERNAMA
#witchcraft #Hong Kong #RLIR 2024 #Regatta Langkawi
;