Wimbledon: Gauff teruskan kejutan singkir Rybarikova
Astro Arena
Julai 4, 2019 10:05 MYT
Julai 4, 2019 10:05 MYT
CORI GAUFF membuktikan kemenangannya ke atas Venus Williams sebelum ini bukanlah satu kebetulan apabila dia menewaskan Magdalena Rybarikova 6-3, 6-3 dalam pusingan kedua, awal pagi tadi.
Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 15 tahun itu meneruskan kejutan seperti yang dilakukan ketika menewaskan Williams kelmarin dengan aksi meyakinkan di gelanggang No.1 untuk mara ke pusingan ketiga.
Gauff kelihatan bersemangat sejak awal permainan dan dia menyukarkan lawan dari Slovakia itu menerusi pukulan drop selain memperoleh mata demi mata menerusi pukulan terus dan kilas.
Dia kemudian mematahkan servis Rybarikova buat kali kedua untuk menamatkan aksi yang berlangsung selama 69 minit itu dengan kemenangan.
Menantinya dalam pusingan ketiga ialah Polona Hercog, yang mengejutkan pilhan ke-17 kejohanan, Madison Keys.