Wimbledon: Gauff intai layak ke Terbuka AS

Ian Johan Ariff
Julai 9, 2019 17:33 MYT
Cori Gauff tersingkir di pusingan keempat Wimbledon. - Foto AP.
CORI ‘Coco’ Gauff mungkin sudah tersingkir dari Wimbledon, namun pemain tenis sensasi berusia 15 tahun itu masih mempunyai peluang untuk menyerlah dalam kejohanan yang lain.
Selepas mengalahkan juara Wimbledon lima kali, Venus Williams di pusingan pertama, Gauff mencipta kejutan dengan mengalahkan dua lagi pemain yang jauh lebih berpengalaman, Magdalena Rybarikova dan Polona Hercog.
Namun kisah 'dongeng' Gauff berakhir selepas dia terpaksa tunduk kepada bekas pemain nombor satu dunia, Simona Halep 6-3, 6-3 di gelanggang nombor satu pada Isnin.
Perjalanannya di Wimbledon, walaupun sekadar di pusingan keempat, berjaya meletakkannya dalam kelompok 150 pemain wanita terbaik di dunia, dan kemungkinan mempunyai harapan untuk mendapatkan wildcard untuk Terbuka Amerika Syarikat, yang bermula pada 26 Ogos.
Peraturan badan tenis wanita, WTA menyatakan Gauff boleh menyertai 10 kejohanan bertaraf profesional di antara hari kelahiran ke-15 dan 16, yang bermakna dia masih berpeluang bermain di kejohanan di New York.
Pencapaian Gauff sesuatu yang mengejutkan, sejurus kalah kepada Halep dia menerima tepukan yang gemuruh daripada penonton di gelanggang satu, yang menyaksikannya menjadi pemain termuda dari peringkat kelayakan yang berjaya ke minggu kedua kejohanan sejak 1991.
“Dia adalah seorang pemain yang mempunyai potensi,” kata Halep selepas mengalahkan Gauff.
“Satu pencapaian yang luar biasa untuk layak ke pusingan keempat Wimbledon dan jika dia teruskan usaha, dia akan menjadi sepuluh pemain terbaik di dunia.”
Sebelum Wimbledon bermula, tiada siapa yang mengenali Gauff, malah 12 bulan lalu, Gauff gagal melepasi pusingan suku akhir dalam saingan kejohanan Wimbledon remaja.
Namun dalam tempoh setahun, Gauff berjaya melepasi pusingan kelayakan dan mengalahkan Williams dengan keputusan straight sets.
Pesanan Williams hanya satu kepada Gauff, sentiasa rendah diri.
“Banyak benda yang saya belajar di sini,” kata Gauff.
“Saya belajar bagaimana untuk bermain di hadapan penonton yang ramai. Saya belajar bagaimana untuk berada dalam tekanan.”
Gauff membawa pulang wang tunai £176,000 (RM909,023) atas kejayaannya mara ke pusingan keempat dan berehat sebelum bersedia untuk menghadapi Terbuka Amerika Syarikat.
#cori gauff #Magdalena Rybarikova #Polona Hercog #Simona Halep #tenis #Venus William #Wimbledon #WTA
;