Wimbledon: Bintang muda Andreeva mara ke pusingan keempat
Astro Arena
Julai 9, 2023 07:45 MYT
Julai 9, 2023 07:45 MYT
PEMAIN muda Rusia, Mirra Andreeva, meneruskan impiannya dengan melangkah ke pusingan 16 Wimbledon dengan kemenangan 6-2, 7-5 ke atas Anastasia Potapova pada Ahad.
Menyertai kejohanan menerusi kelayakan, Andreeva, wanita termuda dalam undian utama pada usia 16 tahun itu sekali lagi menunjukkan mengapa dia menjadi bualan dunia tenis dengan persembahan cemerlangnya.
Kemenangan Andreeva dalam masa satu jam 35 minit ke atas rakan senegaranya yang lebih berpengalaman bermakna, persembahan grand slamnya yang mengagumkan untuk mara ke pusingan ketiga di Roland Garros pada Jun, kini telah bertambah baik.
Andreeva yang penuh emosi, dan tidak merahsiakan minat terhadap juara Wimbledon dua kali Andy Murray itu berkata di gelanggang: “Sudah tentu saya sangat gembira kerana berjaya memenangi perlawanan ini.
“Ia adalah pertempuran yang menakjubkan, lawan telah bermain dengan sangat baik dan tahniah kepada dia dan pasukannya kerana mereka melakukan kerja yang baik.
“Saya melakukan semua yang saya mampu. Saya memberikan segala-galanya dan saya bangkit dalam set kedua dari 1-4, jadi sudah tentu saya berasa hebat.
“Saya telah bekerja keras, dengan jurulatih saya, dengan ibu bapa saya, kami banyak bercakap. Sekarang saya tahu, lebih mudah atau lebih baik untuk mengawal emosi saya di gelanggang.
“Saya benar-benar menikmati suasana, ia sangat menakjubkan di sini. Anda lihat semua pemain pro, anda menyaksikan (Novak) Djokovic, Murray.
"Ya, suasananya hebat dan saya berharap tahun depan saya akan menjadi pemain yang lebih berkualiti dan berada di tahap yang lebih baik.”