Wimbledon 2021: Simona Halep turut umum undur diri

Syafik Shukri Jalil
Jun 25, 2021 19:40 MYT
Simona Halep umum undur diri selepas mengalami kecederaan di bahagian betis. - Foto Instagram/@simonahalep
SATU demi satu jaguh handalan umum undur diri daripada menyertai Terbuka Wimbledon 2021.
Terbaharu, bintang Romania, Simona Halep juga umum undur diri selepas mengalami kecederaan di bahagian betis.
Juara bertahan yang juga pemain nombor tiga dunia itu membuat pengumuman tersebut menerusi satu hantaran di Instagram sebentar tadi.
“Dengan rasa sedih, saya mengumumkan untuk mengundur diri daripada kejohanan Wimbledon tahun ini kerana kecederaan yang saya alami masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya sudah melakukan persiapan yang terbaik untuk edisi kali ini selepas mencipta kejuaraan di sini dua tahun lalu.
“Namun kecederaan ini membataskan segalanya dan saya terpaksa menyimpan hasrat untuk beraksi di gelanggang ini tahun hadapan,” katanya.
Pada edisi 2019, Halep berjaya menundukkan lagenda tenis dunia, Serena Williams di pentas akhir dengan kemenangan bergaya 6-2, 6-2.
Terdahulu, Rafael Nadal dan Dominic Thiem umum undur diri dari kejohanan sama atas faktor kecederaan.
BACA: Rafael Nadal tarik diri daripada Wimbledon, Olimpik Tokyo
BACA: Thiem umum tarik diri dari Terbuka Wimbledon
Manakala Naomi Osaka umum untuk tidak menyertai selepas isu depresi yang dialaminya berhubung hasratnya yang tidak mahu berhadapan dengan sebarang sidang media sepanjang tempoh kejohanan di Terbuka Perancis (Roland Garros 2021) baru-baru ini.
Bagaimanapun Osaka dijadual akan beraksi dalam temasya Olimpik di Tokyo, Jepun kelak.
#Simona Halep #tarik diri #Wimbledon #Romania #tenis
;