Wimbledon 2021: Serena Williams ditimpa malang, Federer mara ke pusingan kedua

Syafik Shukri Jalil
Jun 29, 2021 04:00 MYT
Williams merupakan satu-satunya jaguh tenis yang masih aktif dengan pencapaian 23 trofi Grand Slam termasuk tujuh daripadanya menerusi Wimbledon sementara Federer dengan lapan kejuaraan. FOTO: AP
KUALA LUMPUR: Misi Serena Williams merangkul trofi Grand Slam ke-24 peribadinya sekali lagi tidak tercapai apabila legenda tenis itu terpaksa berundur seawal pusingan pertama awal pagi tadi.
Menerusi aksi bertemu jaguh Belarus, Aliaksandra Sasnovich di Centre Court, pemain pilihan ketujuh kejohanan itu alami kecederaan di buku lalinya di saat kedua-dua baru memperoleh mata 3-3.
Peristiwa tersebut lantas meletakkan Williams sebaris dengan beberapa nama besar lain seperti Rafael Nadal, Dominic Thiem dan Simona Halep yang tidak menyertai kejohanan kali ini akibat kecederaan.
Menerusi perkongsian jurulatihnya, Patrick Mouratoglou di Instagramnya, Williams sudah bekerja keras dan bersedia menghadapi aksi kali ini.
‘’Dia (Williams) sudah melakukan yang terbaik untuk dan berlatih sebaiknya namun dia tergelincir dan ini memberi kesan kepadanya.
‘’Menyedihkan, namun tiada apa yang boleh dilakukan kecuali terus berlatih dan bekerja keras di masa akan datang,’’ ujarnya.
Williams setakat ini merupakan satu-satunya jaguh tenis yang masih aktif dengan pencapaian 23 trofi Grand Slam termasuk tujuh daripadanya menerusi Wimbledon.
Dia masih dalam misi menyamakan kedudukan dengan lagenda tenis Australia, Margaret Court dengan 24 trofi.
Kali terakhir Williams menjuarai Wimbledon pada 2016 dalam aksi getir menentang Angelique Kerber dari Jerman.
BACA: Wimbledon 2021: Simona Halep turut umum undur diri
BACA: Thiem umum tarik diri dari Terbuka Wimbledon
Sementara itu, Roger Federer mara ke pusingan kedua selepas jaguh Perancis, Adrian Mannarino juga tarik diri di set kelima (penentuan) aksi pada tengah malam tadi.
Dalam aksi tersebut kedua-dua mereka sudah memperoleh dua set kemenangan namun Mananarino undur diri selepas alami kecederaan akibat tergelincir di set sebelumnya.
Terdahulu semasa Terbuka Perancis (Roland Garros) 2021, legenda tenis dengan 20 trofi Grand Slam ini juga umum undur diri di pusingan keempat untuk memastikan dirinya tidak alami kecederaan bagi menghadapi aksi di Wimbledon.
“Kejadian yang menimpa Mannarino memang satu mimpi ngeri, ia menunjukkan bahawa satu detik mampu mengubah keputusan perlawanan.
‘’Saya mengharapkan agar dia kembali pulih seperti sediakala dan dia mampu mendominasi perlawanan ini kerana dia beraksi dengan cemerlang, namun tuah menyebelahi saya,” katanya selepas aksi berakhir di Centre Court.
Federer yang kini berada di kedudukan ke-8 dunia itu merupakan bintang tenis dengan pencapaian tertinggi di arena Wimbledon dengan lapan kejuaraan setakat ini.
Jaguh tenis dari Switzerland ini bakal bertemu Richard Gasquet dalam pusingan kedua.
#Serena Williams #Roger Federer #Wimbledon 2021 #Richard Gasquet #Adrian Mannarino #Grand Slam #Serena cedera
;