West Ham lantik Manuel Pellegrini sebagai pengurus

Ian Johan Ariff
Mei 22, 2018 09:38 MYT
Pellegrini memenangi Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City pada musim 2013-2014. - Gambar fail.
West Ham melantik bekas pengurus Manchester City & Real Madrid, Manuel Pellegrini sebagai pengurus baru kelab itu.
Perkara tersebut diumumkan pengerusi bersama West Ham, David Sullivan hari ini.
Pellegrini menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama West Ham di Stadium London, bagi menggantikan David Moyes.
Bagi Sullivan, Pellegrini adalah calon yang paling sesuai kerana pernah memenangi Liga Perdana Inggeris (PL), selain mempercayai pengalaman dan kualiti beliau, selain mempunyai rekod yang terbukti mampu membawa pasukan ke hadapan.
Pellegrini yang menerima gaji yang lumayan di kelab China, Hebei China Fortune, bersetuju untuk menerima gaji yang lebih kecil di West Ham, selepas menamatkan kontrak bersama kelab itu hujung minggu lalu.
Pengendali dari Chile itu memenangi PL bersama City pada musim 2013-2014, serta dua Piala EFL sepanjang berkhidmat sebagai pengurus the Citizens dari 2013 hingga 2016.
Sebelum ini, West Ham dilaporkan cuba mendapatkan khidmat pengurus Newcastle United, Rafael Benitez untuk menggantikan tempat Moyes.
#David Moyes #David Sullivan #EPL #Hebei China Fortune #Manchester City #Manuel Pellegrini #Newcastle United #rafael benitez #Real Madrid #West Ham