WESG: Kami akan buat terbaik, mahu banggakan Malaysia - Ramona

Mariah Ahmad
November 29, 2018 00:31 MYT
Ramona sebelum ini mencipta namanya tersendiri dalam CSGO, menerusi lebih 10 kemenangan kejohanan tempatan dan antarabangsa yang diraihnya, termasuk Juara Piala One Asia 2012 dan Juara Crossfire Asia Tenggara 2013. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Tidak menolak kemungkinan ada sedikit rasa tekanan untuk beraksi pada Grand Final Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Peringkat Asia Tenggara bagi kategori CSGO Wanita, Kapten Sphynx Ramona Azween berkata ia juga dilihat sebagai satu suntikan semangat untuk memberikan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara.
Ramona berkata Sphynx mahu cuba memenuhi harapan peminat negara ini dan seterusnya menjuarai kejohanan WESG itu yang bakal berlangsung pada 13 sehingga 16 Disember nanti.
“Saya bernasib baik kerana sebelum ini pernah beraksi di kejohanan Asia sebagai wakil Malaysia dan peluang untuk beraksi di hadapan peminat tanah air memang satu perkara yang sukar digambarkan.
“Kadang-kala apabila saya mendengar betapa kuatnya jeritan sokongan mereka, memang meremang bulu roma tapi mengagumkan, seolah-seolah mereka pemain keenam kami.
“Ia satu perasaan sukar digambarkan, terutama apabila mereka bersorak tatkala kami berjaya mendapatkan mata bunuh dan memenangi pusingan permainan,” kata Ramona ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Ramona sebelum ini mencipta namanya tersendiri dalam arena CSGO, menerusi lebih 10 kemenangan kejohanan tempatan dan antarabangsa yang diraihnya, termasuk Juara Piala One Asia 2012 dan Juara Crossfire Asia Tenggara 2013.
Menerusi pengalaman dan kejayaannya dalam e-sukan CSGO selama lebih 15 tahun, Ramona Azween merupakan antara pemain yang digeruni di rantau ini.
Mampukah Sphynx bangkit?
Pada Grand Final WESG Asia Tenggara nanti, Ramona bakal beraksi bersama pemain-pemain muda yang lain termasuk Aisya Sabrina Sabri, Iffah Nazurah Saidi, Jasmine Christina Sim Huiyan dan Shanice Choo Xin Ru.
Meskipun Sphynx dilihat beraksi sangat baik apabila bersaing di peringat Malaysia, namun potensi dan skil mereka kini dilihat menjadi satu persoalan apabila mereka tewas menentang negara-negara Asia Tenggara yang lain, dalam Kejohanan E-sukan Wanita Asia (FEAR) pada awal bulan ini.
Memilih untuk tidak mahu terus menoleh ke belakang, Ramona berkata setiap kesilapan yang dilakukan sepanjang FEAR perlu dipelajari dengan segera bagi meningkatkan mutu persembahan sebagai satu pasukan.
“Pasukan lain mempunyai nilai kerjasama yang lebih baik dan mampu beraksi dengan bagus dengan tekanan yang dihadapi ketika bermain dalam kejohanan itu. Secara keseluruhannya, mereka lebih bagus dari kami.
“FEAR merupakan kejohanan pertama kami menentang pasukan Asia Tenggara yang lain.
“Kami belajar banyak perkara, jadi dengan tempoh yang singkat ini kami cuba untuk memastikan corak permainan sepasukan menjadi lebih baik dan memperbaiki kesilapan asas dalam beberapa peta CSGO,” tambahnya.
Menurut Ramona, beliau berhasrat Sphynx mampu beraksi pada tahap yang cemerlang dan seterusnya membanggakan Malaysia.
Kira-kira dua minggu sahaja lagi kejohanan WESG Asia Tenggara bakal berlangsung dengan lima judul e-sukan bakal dipertandingkan.
Bersaksikan Quill City Mall Kuala Lumpur, atlet-atlet e-sukan negara bagi kategori Vainglory, Starcraft II, Counter Strike:Global Offensive (CSGO), Dota 2 dan Heartstone akan mempamerkan kehebatan mereka di sini, menentang pemain-pemain lain di rantau ini.
#Aisya Sabrina Sabri #csgo #Iffah Nazurah Saidi #Jasmine Christina Sim Huiyan #Kejohanan Dunia Sukan Elektronik #ramona azween #Shanice Choo Xin Ru #Sphynx #WESG #wesg sea #World Electronic Sports Games
;