Wenger terus sifatkan Hazard menipu
Astro Arena
Januari 10, 2018 13:03 MYT
Januari 10, 2018 13:03 MYT
PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger, terus menyifatkan bintang Chelsea, Eden Hazard, menipu untuk mendapatkan penalti dalam pertemuan di antara kedua-dua pasukan, sebelum ini.
Hazard dijatuhkan oleh Hector Bellerin dalam aksi di Stadium Emirates dan pemain sayap itu sendiri menyempurnakan sepakan penalti itu, yang membolehkan keputusan terikat 2-2.
Wenger berulang kali mengkritik keputusan yang dilakukan pengadil perlawanan, Anthony Taylor, dan dia sekali lagi akan berdepan Hazard menjelang aksi pertama separuh akhir Piala EFL, awal pagi esok.
Hazard tampak kembali ke tahap kecergasan terbaik selepas direhatkan daripada aksi Piala FA menentang Norwich City, Sabtu lalu, akibat kecederaan betis, namun Wenger terus membidas cara pemain Belgium itu.
"Saya mempersoalkan keputusan pengadil. Anda boleh lihat pada gambar.
"Anda boleh lihat bagaimana Hazard jatuh dan dengan pantas mengambil sepakan penalti apabila diberikan oleh pengadil.
"Jika dia cedera, mengapa dia mengambil sepakan tersebut? Dia sering melakukannya dan saya tidak mengkritik Hazard kerana dia melakukannya dengan baik," katanya.
Wenger bakal menyaksikan perlawanan di Stamford Bridge dari bangku penonton selepas digantung tiga perlawanan dan didenda oleh Persatuan Bolasepak (FA) selepas mempersoalkan tindakan pengadil, Mike Dean, ketika aksi liga menentang West Bromwich Albion.