Wenger kesal Aubameyang terlepas peluang awal permainan

Astro Arena
Februari 26, 2018 09:51 MYT
Aubameyang semasa sesi latihan di Pusat Latihan Arsenal, St Albans, Britain, 14 Feb, 2018. REUTERS / Fail
ARSENE Wenger kesal peluang awal yang gagal disudahkan Pierre-Emerick Aubameyang ketika menyaksikan barisan pemainnya tersungkur 3-0 kepada Manchester City dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) di Wembley, awal pagi tadi.
Bekas penyerang Borussia Dortmund itu melepaskan peluang untuk memberikan Gunners kelebihan pada 10 minit awal apabila percubaannya tepat ke arah penjaga gol, Claudio Bravo, sambil Kyle Walker cuba melakukan halangan terakhir.
Ketumpulannya itu dihukum Sergio Aguero yang memanfaatkan kelekaan Shkodran Mustafi untuk meletakkan pasukan kendalian Pep Guardiola itu di depan, sebelum Vincent Kompany dan David Silva menambah sengsara lawan pada babak kedua.
Wenger mengakui bahawa pertahanan pasukannya tidak cukup bagus, namun segera mengalihkan tumpuan terhadap kegagalan Aubameyang ketika menghadapi detik penting permainan.
"Kami mempunyai peluang pertama yang bagus -- peluang sangat mudah yang kami ingin lupakan," katanya kepada Sky Sports.
"Selepas itu, kami membuat kesilapan besar untuk gol pertama mereka.
"Kami menguasai permainan dengan baik pada babak pertama tetapi mereka lebih mantap pada separuh masa kedua dan kami tidak bernasib baik kerana gol kedua adalah ofsaid tetapi tahniah kepada Man City, mereka berhak menang.
"Apabila anda tewas dalam permainan, anda perlu mengatasinya untuk dikritik. Secara emosi selepas permainan, terutama perlawanan akhir, anda tidak mahu terlalu mengkritik.
"Kami mesti bangkit dengan segera -- kami mara ke final dan kami kalah tetapi kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan Liga Perdana seterusnya (menentang City pada awal Jumaat).
"Apabila kalah 3-0, kami perlu melihat pertahanan yang lebih baik. Apabila hilang tumpuan ketika menghadapi pasukan berkualiti, anda akan membayar harganya.
"Bukan soal kekurangan dalam melakukannya -- ia adalah konsentrasi yang rendah dan agak tidak bernasib baik," katanya.
#Arsenal #Arsene Wenger #Claudio Bravo #EFL #gol #hilang tumpuan #kesilapan besar #Manchester City #pertahanan #Piala Liga Inggeris #Pierre-Emerick Aubameyang #Sergio Aguero
;