Wenger gembira saksi Arsenal mengganas dari tempat duduk penonton
Astro Arena
Januari 29, 2017 13:53 MYT
Januari 29, 2017 13:53 MYT
ARSENE Wenger meluahkan rasa gembira dapat memerhatikan persembahan Arsenal dari tempat lebih tinggi di tempat duduk penonton ketika skuadnya itu menewaskan Southampton 5-0 dalam pusingan keempat Piala FA di Stadium St. Mary, awal pagi tadi.
Wenger memulakan penggantungan berada di tepi padang dalam empat perlawanan, sebagai hukuman akibat perbalahannya dengan pegawai keempat ketika meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, hujung minggu lalu.
Danny Welbeck - yang tampil buat kali pertama selepas berehat hampir lapan bulan - mencipta dua gol menarik sebelum Theo Walcott meletakkan bekas kelabnya menderita dengan jaringan hatrik.
Southampton melakukan perubahan ke atas skuad yang menewaskan Liverpool 1-0 dalam separuh akhir Piala EFL, pertengahan minggu lalu, tetapi Arsenal yang dipimpin dari jarak dekat oleh pembantu, Steve Bould, mempamerkan kekuatan menakjubkan.
"Apabila gol dijaringkan, ia kelihatan baik dari segenap sudut (dari tempat penonton)," kata Wenger.
"Secara keseluruhan, ia menarik untuk ditonton kerana kami mempunyai permainan yang dinamik dan sentiasa berbahaya.
"Sudah tentu, menentang pasukan muda Southampton adalah sukar, tetapi saya percaya kami mempunyai 90 minit yang baik."
Aksi sulung penyerang England, Welbeck, selepas berehat sejak Mei tahun lalu, nyata mengujakan Wenger.
"Welbeck tersingkir untuk tempoh yang panjang. Saya tidak mengharapkan dia terus menjaringkan gol tetapi dia menunjukkan keinginannya," katanya.
"Orang kata saya membuat perubahan tetapi saya membawa masuk Walcott, Welbeck dan (Lucas) Perez, semua pemain yang berkualiti tinggi. Selepas itu, saya cuba mencari keseimbangan terbaik untuk pasukan."