Welson Sim tetap unggul walaupun cedera

Bernama
Mei 3, 2018 22:39 MYT
WELSON: Apa yang penting saya perlu kekalkan stamina dan ketahanan diri untuk menghadapi saingan di Sukan Asia. - Gambar fail
Perenang sensasi negara, Welson Sim, membuktikan bahawa kecederaan kaki kirinya tidak menghalang beliau daripada menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Sarawak dalam acara 400m gaya bebas lelaki pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2018, hari ini.
Pada saingan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, di sini, perenang berusia 21 tahun itu merakamkan catatan masa 3 minit 58.89 saat, 9.41s ketinggalan daripada rekod kebangsaannya iaitu 3:49.48s yang dicipta di Monaco, Jun, tahun lalu.
Pingat perak dimenangi perenang Selangor, Yeap Zheng Yang dengan 4:00.30s diikuti perenang India P. Sajan yang meraih gangsa dengan mencatat masa 4:06.20s.
Welson berkata penyertaan di kejohanan itu tidak mendatangkan risiko kepada kecederaan yang dialami dua minggu lepas ketika latihan di gimnasium selepas kembali dari Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.
Malah, perenang Sukan Olimpik Rio 2016 itu menganggap penyertaan di Terbuka Malaysia sebagai salah satu cara untuk beliau terus kekal cergas dan juga persiapan menghadapi temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini.
"Catatan masa hari ini kurang memuaskan tapi saya ambil ini sebagai sesi latihan, pemanas badan dan juga sebahagian daripada persediaan menjelang Sukan Asia nanti.
"Saya tidak mahu fikir mengenai kecederaan...sebenarnya ia semakin pulih berbanding dua minggu lepas. Saya tetap teruskan latihan cuma tidak lakukan latihan keras.
"Apa yang penting saya perlu kekalkan stamina dan ketahanan diri untuk menghadapi saingan di Sukan Asia," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Welson akan kembali beraksi dalam acara 200m dan 1,500m gaya bebas dan terpaksa melupakan penyertaan dalam acara 100m gaya bebas kerana tidak mahu menjejaskan proses pemulihan kaki kirinya.
Dalam pada itu, perenang kelahiran Sarawak itu telah layak ke Sukan Asia dalam acara 200m dan 400 gaya bebas dan kini cuba mencari slot dalam acara 1,500m gaya bebas.
Katanya, pada penyertaan di Sukan Asia kali ini, beliau mahu melakukan catatan peribadi terbaik dan cuba menghadiahkan pingat buat kontinjen negara.
Sementara itu, pada kejohanan yang membuka tirai hari ini, perenang negara, Tern Jian Han yang mewakili Johor, turut meraih emas selepas mencatat 25.67s dalam acara 50m kuak lentang lelaki.
Seorang lagi perenang negara, yang mewakili Johor, Wong Fu Kang turut meraih emas dalam acara 100m kuak dada lelaki selepas mencatat 1:03.43s manakala Chan Jie yang mewakili Selangor merekod masa 53.87s untuk pingat emas acara 100m kuak kupu-kupu.
-- BERNAMA
#cedera #Kejohanan Terbuka Malaysia #perenang #pingat emas #Sarawak #sukan #Welson Sim
;