Welson Sim tekad rampas semula pingat emas di Hanoi

Bernama
Januari 24, 2022 18:10 MYT
Selain Sukan SEA, Welson juga berhasrat untuk mencipta kejayaan pada Sukan Komanwel Julai ini serta Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas gagal mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, perenang negara Welson Sim Wee Sheng bertekad untuk merampas semula pingat berharga itu dalam kejohanan akan datang di Hanoi, Vietnam Mei ini.
Welson meraih dua pingat emas pada acara 200 meter (m) dan 400m gaya bebas pada Sukan SEA 2017 di sini, sebelum kehilangan pingat itu di Filipina apabila sekadar membawa pulang pingat perak dalam kedua-dua acara.
"Acara 200m dan 400m gaya bebas adalah kegemaran saya dan tahun ini saya pasti akan menumpukan perhatian untuk merampas kembali takhta pada Sukan SEA akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di KLCC di sini hari ini.
Selain Sukan SEA, pemegang rekod kebangsaan dalam tiga acara termasuk 100m gaya bebas, juga berhasrat untuk mencipta kejayaan pada Sukan Komanwel Julai ini serta Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September.
Justeru, Olimpian dua kali itu memberitahu bahawa beliau telah meningkatkan intensiti dalam latihan menjelang tiga temasya sukan utama tahun ini dalam usaha untuk menyerlah dan memecahkan rekod kebangsaannya sendiri.
Dalam pada itu, Welson gembira melihat kebangkitan perenang muda Khiew Hoe Yean dan keadaan itu pasti mendorongnya untuk bekerja lebih keras untuk kekal sebagai perenang terbaik negara.
"Saya tidak akan menjalani latihan di luar negara tetapi berada di sini untuk membuat persediaan tiga temasya utama tahun ini," katanya.
Hoe Yean mula mendapat perhatian selepas merangkul lapan pingat emas dalam Kejohanan Renang Jemputan Malaysia pada Mac 2020, seterusnya pada Terbuka Malaysia ke-63 pada Jun tahun lepas, walaupun berbulan-bulan tidak beraksi akibat pandemik COVID-19.
Beliau memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun dalam acara 200m kuak lentang dengan catatan masa 2:00.80 saat (s) bagi memadamkan rekod lama dipegang Alex Lim Keng Liat 2:00.94s dan memperbaiki rekod 800m gaya bebas selepas mencatat masa 8:06.00s bagi memadam rekod Welson 8:09.77s.
Sementara itu, penerjun wanita negara Wendy Ng Yan Yee yang turut mengambil bahagian dalam acara hari ini, berharap dapat mewakili negara dalam tiga temasya sukan itu tahun ini.
Wendy juga berhasrat untuk bangkit semula dengan lebih kuat berikutan prestasi mengecewakan pada Olimpik Tokyo 2020, apabila gagal layak ke separuh akhir selepas menamatkan saingan di tempat ke-20 pada pusingan kelayakan.
Larian Baton Ratu itu diadakan di pelbagai lokasi di dunia menjelang Sukan Komanwel yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos tahun ini, dan Malaysia merupakan hentian ke-29 dalam kalangan 72 negara yang terlibat.
-- BERNAMA
#Welson Sim #pingat emas #Sukan SEA #Sukan Asia
;