Welson Sim perbaharui rekodnya pada Jelajah Mare Nostrum
Bernama
Jun 11, 2017 22:19 MYT
Jun 11, 2017 22:19 MYT
Perenang negara Welson Sim mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 400 meter gaya bebas di Kejohanan Renang Jelajah Mare Nostrum di Monaco pada Sabtu.
Perenang dari Sarawak ini yang berumur 20 tahun mencipta masa 3 minit 49.48 saat untuk memperbaharui rekodnya sendiri iaitu 3:50.33 saat yang diciptanya di Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan Singapura tahun lalu.
Beliau sekali gus merangkul emas bagi acara tersebut pada kejohanan itu. Lebih manis beliau mengalahkan juara Olimpik.
Menurut lawan web kejohanan www.montecarlo-swimming.com, juara Olimpik Mack Horton dari Australia di tempat kedua dengan catatan 3:50.14 saat sementara perenang China, Qiu Ziao di tempat ketiga dengan catatan 3:51.18 saat.
Kejayaan Sim turut mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Tahniah perenang kita Welson Sim, raih pingat emas di kejohanan Monaco, pecah rekod kebangsaan & tewaskan juara Olimpik! Manis kemenangan ini," kata Najib dalam laman Twitter.
-- BERNAMA