Wei Feng pasrah tidak dipilih ke kejohanan dunia

Bernama
Mei 12, 2015 08:32 MYT
Wei Feng pasrah tidak dipilih ke kejohanan dunia - Gambar fail
Chong Wei Feng sedikit kecewa apabila tidak diberi peluang beraksi di Kejohanan Badminton Dunia tahun ini, namun pasrah dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memilih Datuk Lee Chong Wei dan Zulfadli Zulkiffli untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan itu.
Wei Feng, yang berada di ranking ke-31 dunia ketika ini, layak secara merit untuk beraksi pada temasya berprestij itu bersama-sama Zulfadli yang berada di ranking ke-41 sedangkan Chong Wei berada di ranking ke-45.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan setiap negara hanya boleh menghantar dua pemain perseorangan pada kejohanan berkenaan.
BAM terpaksa membuat keputusan itu dalam keadaan dilema selepas Chong Wei bebas daripada penggantungan lapan bulan akibat gagal ujian doping pada kejohanan dunia di Copenhagen, Denmark tahun lepas, selain keengganan BWF memberi wildcard kepada bekas pemain nombor satu dunia itu.
Keputusan itu diumumkan presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff selepas mesyuarat khas exco di pejabat BAM, Bukit Kiara di sini, pada Isnin.
Wei Feng, 27, yang beraksi dua kali di Kejohanan Dunia pernah mara ke pusingan ketiga namun tewas kepada Lin Dan dari China, sekali gus menutup peluang ke suku akhir pada edisi 2013, dan penampilan pada edisi 2014, beliau tersingkir awal.
Bagi mengubati kekecewaannya, anak kelahiran Kedah itu mahu bangkit dan memberi fokus kepada persediaan menghadapi temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Jeneirio, Brazil.
"Memang agak kecewalah sebab ranking saya paling tinggi tapi tidak dapat main (Kejohanan Dunia). Selepas berbincang dengan Tengku dan Encik Ng (Setiausaha BAM Ng Chin Chai), mereka kata akan sokong saya untuk layak ke Olimpik 2016.
"Mungkin kali ini saya akan bermain dalam banyak lagi kejohanan bagi dapatkan mata...saya terlepas bermain kejohanan dunia, hanya ada Terbuka Taipei dan kejohanan lain untuk kumpul mata," katanya selepas perjumpaan dengan BAM di Bukit Kiara di sini.
Ditanya mengenai pemilihan Chong Wei ke kejohanan itu, beliau berkata pemain berusia 32 tahun itu mempunyai kelebihan dan peluang untuk meraih kemenangan manakala Zulfadli masih muda dan mempunyai banyak masa untuk mencapai tahap tertinggi.
"Chong Wei mempunyai peratusan lebih tinggi berbanding saya...saya ucapkan selamat berjaya kepada Chong Wei," katanya.
Sementara itu, Zulfadli, 21, ketika dihubungi berkata beliau amat berterima kasih kepada BAM kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas cabaran negara di Jakarta nanti.
"Saya amat gembira. Ini kepercayaan yang diberi kepada saya oleh BAM. Saya tidak kisah jadi pemain nombor berapa pun, yang penting saya dapat beraksi di kejohanan peringkat dunia," katanya.
Beliau, yang akan memulakan latihan pada Rabu ini, berjanji melakukan yang terbaik bagi membalas kepercayaan BAM walaupun sedar bakal berdepan dengan jaguh dunia seperti Lin Dan dan Cheng Long dari China.
"Saya harap Wei Feng tidak akan berputus asa dan terus melakukan yang terbaik dalam sukan badminton," katanya.
#badminton #BAM #BWF #Chong Wei #Tengku Mahaleel Tengku Ariff #wei feng
;