Wei Feng mara ke undian utama Terbuka Perancis

Astro Arena
Oktober 21, 2015 10:00 MYT
Wei Feng akan menentang pemain veteran Jepun, Sho Sasaki di perlawanan pusingan pertama.
Pemain perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng layak ke undian utama badminton Siri Super Terbuka Perancis selepas melepasi dua halangan peringkat kelayakan malam tadi.
Di pusingan pertama kelayakan di Stade Pierre de Coubertin, Paris, Wei Feng menewaskan Christian Lind Thomsen dari Denmark 21-10, 21-9 sebelum menundukkan Raul Must dari Estonia 21-11, 21-11.
Wei Feng akan menentang pemain veteran Jepun, Sho Sasaki di perlawanan pusingan pertama.
Pemain wanita negara, Tee Jing Yee turut melangkah ke undian utama selepas menundukkan pemain tuan rumah, Delphine Lansac 21-11, 21-12 di perlawanan keduanya di peringkat kelayakan.
Tee yang sebelum itu menundukkan pemain Amerika Syarikat, Schafer Rong 24-22, 21-11 akan berdepan pilihan ketujuh, Sung Ji Hyun dari Korea Selatan di pusingan pertama.
Sementara itu, pasangan negara Hoon Thien How/Lim Khim Wah memberi kemenangan percuma kepada pasangan Perancis, Gregor Dunikowski/Thom Gicquel berikutan kecederaan yang dialami Hoon.
Tumpuan pusingan pertama pastinya terarah kepada pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei yang akan membuka kempennya menentang wakil tuan rumah, Brice Leverdez.
Ini berikutan prestasinya yang agak merosot sejak kebelakangan ini termasuk tewas di pusingan kedua Terbuka Denmark di tangan pemain Hong Kong, Wei Nan, minggu lepas.
#badminton #Chong Wei Feng #French Open #Lee Chong Wei #Tee Jing Yee
;