Wei Feng, Koo/Tan dan beregu campuran layak ke separuh akhir
Bernama
November 17, 2012 08:36 MYT
November 17, 2012 08:36 MYT
Pemain perseorangan negara Chong Wei Feng terus memperagakan aksi cemerlang untuk menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China di Shanghai, China, Jumaat malam.
Pemain berusia 25 tahun itu hanya mengambil masa 37 minit untuk mengetepikan saingan pemain Jepun Takuma Ueda 21-16, 21-13 pada perlawanan pusingan ketiga.
Wei Feng yang merupakan wakil tunggal negara dalam acara perseorangan akan menentang pilihan utama Cheng Long dari China pada separuh akhir.
Selain itu, beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong turut melangkah ke separuh akhir selepas menumpaskan beregu Taiwan Chen Hung Ling/Lu Chia Bin dengan 21-17, 21-17.
Mereka akan berdepan dengan beregu nombor satu dunia, Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark pada separuh akhir.
Beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ling turut layak ke separuh akhir apabila menundukkan gandingan Indonesia, Riky Widianto/Puspita Richi Dili 21-16, 21-18.
Chan dan Liu, beregu campuran nombor empat dunia itu, akan menentang gandingan, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir, beregu nombor tiga dunia dari Indonesia, Sabtu.