Wei Feng buru kelompok 30 pemain terbaik dunia pada 2017
Bernama
Disember 19, 2016 21:54 MYT
Disember 19, 2016 21:54 MYT
Bekas pemain perseorangan kebangsaan, Chong Wei Feng mengintai kedudukan kelompok 30 pemain terbaik dunia dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim depan.
Pemain kelahiran Kedah itu yang kini bergelar pemain profesional setelah keluar naungan Persatuan Badminton Malaysia, Mac lepas, yakin sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya beliau mengekalkan aksi konsisten dalam beberapa kejohanan yang disertai tahun depan.
"Sekarang saya berada di ranking 45 dunia dan harapan saya boleh masuk ke kelompok 30 pemain terbaik dunia namun kena ada keputusan yang bagus dalam beberapa kejohanan bermula dengan Malaysia Masters pada Januari depan," katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran Yayasan Beko-PUBC di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wei Feng, yang juga pemain Kelab Badminton Puchong United (PUBC), mengakui tahun 2016 bukanlah musim terbaik untuk kariernya dan bertekad menjadikan ia sebagai pengajaran untuk beliau memperbaiki persembahan pada musim baharu terutamanya bagi memburu sekurang-kurangnya satu kejuaraan di pentas antarabangsa.
Berkongsi pandangan sama adalah bekas pemain beregu kebangsaan, Lim Khim Wah, yang menyandarkan harapan gandingannya bersama seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Mohamad Arif Abdul Latif menerusi tajaan pihak swasta iaitu Ko Skin bermula musim depan, mampu menghasilkan lebih banyak kejayaan.
"Harapan saya, kami boleh cipta kejayaan pada Siri Super dan Grand Prix Emas memandangkan Mohamad Arif sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam acara beregu lelaki dalam beberapa kejohanan pada tahun ini," jelas Lim yang bergelar pemain profesional sejak tahun lepas. - BERNAMA