Wei Chong-Kai Wun akui perlu baiki tahap kekuatan mental
Bernama
Mei 15, 2024 05:15 MYT
Mei 15, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tahap mental yang kurang mantap dilihat menjadi salah satu punca utama beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bergelut dengan prestasi pada tahun ini.
Mana tidaknya, daripada tujuh kejohanan disertai tahun ini, mereka mara ke suku akhir hanya sekali pada Terbuka Swiss 2024 di Basel, Switzerland, sebelum tumbang kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 14-21, 21-23.
Selepas tidak tersenarai dalam skuad Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, Kai Wun berkata mereka menggunakan kesempatan tersebut untuk menguatkan mental sekali gus dapat tampil lebih garang pada Malaysia Masters 2024 yang dijadual berlangsung 21-26 Mei ini.
"Setakat ini, kami beraksi tidak berapa bagus dan lalui banyak prestasi naik dan turun tahun ini. Sekarang kami fokus kuatkan mental memandangkan kami sering hilang fokus secara tiba-tiba, itu masalah kami.
"Disebabkan itu, kami ada juga berbincang bersama pakar psikologi (Frederick Tan) untuk membantu kami hadapi masalah ini," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Wei Chong berharap mereka mampu memperagakan aksi yang lebih baik di laman sendiri selepas bergelar naib juara pada Malaysia Masters 2023 apabila tumpas kepada Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, 15-21, 24-22, 19-21.
Walaupun sebilangan pasangan terbaik dunia tidak menyertai Malaysia Masters kali ini, beliau sebaliknya enggan memandang rendah cabaran pasangan lain yang mampu memberikan tentangan sengit di Axiata Arena.
Wei Chong juga memasang impian untuk memenangi kejohanan bertaraf tinggi seperti Super 750 mahupun Super 1000 dalam usaha pasangan ranking ke-20 dunia itu menembusi kelompok 10 pasangan terbaik dunia akhir tahun ini.
Pasangan negara itu akan membuka tirai saingan Malaysia Masters 2024 menentang Chiang Chien-Wei-Wu Hsuan Yi dari Taiwan.
Wei Chong-Kai Wun belum pernah memenangi sebarang gelaran Super 500 dan ke atas, namun pernah menjulang gelaran Super 300 sebanyak tiga kali pada saingan Antarabangsa Syed Modi 2022 di India serta meraih dua gelaran berturut-turut Terbuka Taiwan pada 2022 dan 2023. - BERNAMA