Wee Wern tekad dapat kedudukan dalam terbuka British

Bernama
April 9, 2013 07:57 MYT
Pemain skuasy wanita nombor dua negara, Low Wee Wern bertekad mara ke suku akhir kejohanan Terbuka British di KC Stadium, Hull bulan depan.
Menduduki ranking keenam dunia pada usia 22 tahun, beliau menyifatkan kejohanan tersebut sebagai waktu terbaik untuk meletak sasaran sebagai pemain nombor lima terbaik dunia.
"Saya menjangka akan bertemu Alison Waters, pemain nombor empat dunia dari England sekiranya melepasi peringkat suku akhir.
"Jika bernasib baik, mungkin saya dapat bertemu (Datuk) Nicol David pada pusingan separuh akhir pula," katanya kepada pemberita pada majlis penajaan rasmi oleh syarikat tambang murah AirAsia di sini Selasa.
Beliau berkata beliau juga bakal beraksi pada kejohanan Individu Asia di Islamabad, Pakistan dari 1 hingga 5 Mei sebagai acara pemanas badan sebelum menghadapi Terbuka British.
Tersingkir pada peringkat suku akhir Terbuka Kuala Lumpur CIMB baru-baru ini selepas tewas kepada pemain veteren Ireland, Madeline Perry, Wee Wern mahu menjadikan kekalahan itu sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih cemerlang.
"Terbuka British merupakan cabaran baru sama sekali kepada saya," katanya.
Sebagai persediaan, anak kelahiran Pulau Pinang ini giat berlatih lima hingga enam jam sehari selama seminggu kecuali pada hari Ahad di bawah bimbingan jurulatih tempatan Aoran Syoza.
Mengenai penajaan itu, Wee Wern berkata ia merupakaan penajaan tiket penerbangan untuk menyertai kejohanan dalam tempoh setahun selain insentif wang tunai.
#Low Wee Wern #Skuasy #terbuka british
;