Wee Kiong belum fikir bersara dari arena badminton
Bernama
Mei 22, 2024 05:15 MYT
Mei 22, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki profesional, Tan Wee Kiong belum memutuskan sama ada mahu bersara daripada arena badminton negara dalam masa terdekat.
Wee Kiong, 35, berkata walaupun bersara daripada sukan ini berada dalam 'pertimbangannya', namun enggan terburu-buru meletakkan sebarang tempoh masa berhubung perkara berkenaan.
"Belum berfikir untuk bersara, kalau ada sponsor ok. Memang dalam perancangan untuk teruskan bermain tahun depan, tapi belum tahu lagi.
"Saya tidak beri jangka masa untuk langkah seterusnya, tapi saya hargai waktu dalam gelanggang, latihan, jadi harap sebelum bersara dapat capai keputusan cemerlang," katanya kepada pemberita di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.
Wee Kiong dan rakan gandingan, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn ditunjukkan jalan keluar oleh rakan senegara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menerusi permainan straight set 20-22 dan 19-21 pada pusingan pertama Malaysia Masters 2024.
Beliau bagaimanapun tidak menidakkan bahawa Malaysia Masters 2024 merupakan kejohanan di tanah air yang terakhir buat dirinya, namun tetap bersemangat untuk menembusi kelompok 32 terbaik dunia tahun ini.
-- BERNAMA