#WeBelangTogether: Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki
Haider Yutim
Disember 5, 2018 21:50 MYT
Disember 5, 2018 21:50 MYT
Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki selepas mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu malam.
Dalam babak pertama aksi perlawanan tersebut, Thailand mendahului permainan menerusi tandukan Thitipan Puangchan pada minit ke-20 yang terkena pemain gantian, Muhammad Irfan Zakaria.
Namun pada minit ke-28, Muhammad Syahmi Safari berjaya menyamakan kedudukan menjadikan keputusan pada separuh masa pertama, 1-1.
Beberapa minit pada separuh masa kedua, Thailand sekali lagi mendahului perlawanan menerusi tandukan Pansa Hemviboon pada minit ke-63.
Bagaimanapun, kedudukan itu berjaya dipecahkan menerusi jaringan penyerang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-71 sekaligus menjadikan keputusan 2-2.
Pada saat akhir perlawanan, Malaysia melalui detik cemas kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Syahmi dilayangkan kad merah oleh pengadil apabila tangannya terkena bola di dalam kotak penalti.
Pasukan Thailand pula diberikan sepakan penalti, namun nasib menyebelahi skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu apabila sepakan yang diambil Adisak Kraisorn melewati palang gol, sekaligus mengekalkan keputusan, 2-2.
Keputusan seri itu sudah mencukupi untuk Malaysia layak ke final menerusi peraturan 'away goal' atau gol di tempat lawan.
Malaysia bakal bertemu sama ada Vietnam ataupun Filipina di final nanti, namun ia bergantung pada siapa yang menang dalam aksi timbal balik perlawanan separuh akhir pada Khamis.
#AFF SUZUKI
#harimau Malaya
#Malaysia
#Muhammad Irfan Zakaria
#Muhammad Syahmi
#Muhammad Syahmi Safari
#Norshahrul Idlan Talaha
#Pansa Hemviboon
#Piala AFF Suzuki
#Tan Cheng Hoe
#Thailand
#WeBelangTogether