WBC larang peninju profesional beraksi di Olimpik Rio
Astro Arena
Jun 6, 2016 10:41 MYT
Jun 6, 2016 10:41 MYT
MAJLIS Tinju Dunia (WBC) telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet tinju profesional bertanding di Sukan Olimpik Rio.
Keputusan itu jelas bercanggah dengan keputusan ditetapkan Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA) yang sebaliknya membenarkan atlet profesional beraksi di Olimpik.
Bagaimanapun, kenyataan dibuat WBC menerima sokongan majoriti komuniti sukan tinju dunia.
Faktor utama keputusan tersebut dibuat adalah memikirkan keselamatan peninju amatur yang bakal berdepan peninju profesional.
"Keputusan AIBA untuk mempertemukan peninju profesional dan amatur di atas gelanggang akan menyebabkan tragedi yang tidak diingini berlaku.
"Pertemuan dua dunia tinju ini umpama meletakkan pelari jarak jauh berdepan pelari 100 meter, kedua-duanya adalah atlet olahraga namun mereka beraksi dalam dua acara berbeza," demikian kenyataan dikeluarkan WBC.
Sukan lain mampu menemukan pasukan profesional dan amatur, namun apa yang akan berlaku hanyalah perbezaan mata atau jaringan gol.
Bagaimanapun, dalam kes tinju, peninju amatur seolah-olah akan memperjudikan keselamatan dan nyawa jika berdepan peninju profesional.
WBC telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan pemegang tali pinggang kejuaraan WBC dan peninju yang berada dalam senarai 15 terbaik dunia beraksi di Rio sehinggalah terdapat atur cara yang bersesuaian.
"Sekiranya terdapat peninju yang ingkar, mereka akan digantung dari WBC selama dua tahun."