Watson selar penulis dedah status kewangan

Bernama
Mac 5, 2016 18:03 MYT
Watson berharap penyiaran berita itu tidak menjejaskan Flying Dayak Club, kelab yang ditubuhkannya bagi melatih atlet di negeri ini. - File photo
Pemegang rekod kebangsaan 100 meter, Watson Nyambek, menyuarakan kekecewaannya tentang sebuah artikel yang mendedahkan status kewangannya serta menyifatkannya sebagai "tidak beretika dan tidak profesional".
Kata Watson, penulis artikel itu menghubunginya melalui telefon mengenai satu notis muflis yang tersiar dalam ruangan iklan sebuah akhbar tempatan semalam.
"Saya jelaskan kedudukan saya kepada wartawan itu, ia sepatutnya merupakan perbualan antara dua orang kawan dan saya tidak pernah memberi kebenaran kepadanya untuk menyiarkan berita itu. Ia merupakan hal peribadi bagi saya serta keluarga saya dan saya kecewa serta marah kerana dia tidak menghormati privasi saya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Watson, yang ditemani isterinya, Fellizia Michael, berkata penulis itu sepatutnya meminta kebenarannya terlebih dahulu kerana artikel berkenaan boleh menjejaskan kerjayanya sebagai jurulatih dari segi penajaan dan kredibilitinya.
"Paling penting, saya ingin jelaskan sekali lagi di sini bahawa saya tidak pernah memberi kebenaran kepada penulis itu untuk menyiarkan berita berkenaan, ya, kami memang bergelut dari segi kewangan sejak beberapa tahun lepas, tapi kami tidak cuba untuk mengemis simpati," katanya.
Watson berharap penyiaran berita itu tidak menjejaskan Flying Dayak Club, kelab yang ditubuhkannya bagi melatih atlet di negeri ini.
Ketika berkongsi kekecewaan Watson, Felliza berkata mereka mungkin menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis berkenaan.
"Dua peguam, seorang dari Limbang dan seorang lagi dari Miri telah menghubungi kami bagi menawarkan khidmat mereka sekiranya kami memerlukan nasihat berkaitan undang-undang. Saya cuba memanggil dan menghubungi penulis itu melalui WhatsApp sejak pagi tadi, tapi dia tidak menjawab atau membalas mesej
WhatsApp saya. Inikah yang dikatakan kewartawanan bertanggungjawab?" tanya wanita itu.
Felliza berkata dia dan Watson berusaha untuk menambah pendapatan dengan berniaga buah-buahan berhampiran pusat beli-belah, menjual beg buatan sendiri dan menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan klinik kejurulatihan di sekolah.
#Felizia Michael #Watson Nyambek suara kekecewaan tentang artikel dedah status kewangannya
;