Watson Nyambek tidak jangka rekodnya lebur di Sarawak

Bernama
Julai 27, 2016 22:33 MYT
Watson tidak menyangka rekodnya berjaya diatasi di Sukma Sarawak kali ini. - Gambar fail
Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek mengakui tidak menyangka pelari muda, Khairul Hafiz Jantan mampu meleburkan rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun miliknya di negeri kelahirannya.
Walaupun sedar atlet kelahiran Melaka itu mampu mencatat keputusan baik selepas melihat aksi awalnya, Watson tetap terkejut rekod 10.30 saat yang begitu lama miliknya dipadamkan di Sarawak.
"Selepas melihat aksi separuh akhir pagi tadi, naluri saya menyatakan dia semakin kuat dan boleh meraih emas. Tetapi tidak jangka dia akan pecahkan rekod.
"Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan pencapaiannya kerana ada generasi baharu yang semakin meningkat dari segi prestasi," katanya seperti dipetik sebuah stesen televisyen.
Khairul Hafiz hari ini muncul manusia terpantas negara ini apabila menamatkan larian 100m Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Stadium Sarawak di sini, dalam masa 10.18s.
Ia sekali gus mengatasi rekod 10.30s milik Watson yang dicatatkan pada Kejohanan Sukan Pra-Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pingat perak milik pelari tuan rumah, Jonathan Nyepa yang mencatat masa 10.36s, manakala Badrul Hisyam Abdul Manap, juga mewakili Melaka, yang turut mencatat masa 10.36s terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa berdasarkan 'photo-finish'.
BACA: Khairul Hafiz Jantan lebur rekod Watson Nyambek
#Khairul Hafiz Jantan #pelari pecut #rekod kebangsaan #Watson Nyambek
;