Wanita gemar e-sukan bukan perkara pelik
Hilmi Malik
April 7, 2022 04:30 MYT
April 7, 2022 04:30 MYT
KUALA LUMPUR : Stigma masyarakat terhadap golongan wanita yang menceburi bidang permainan e-sukan mungkin mencetuskan persepsi yang berbeza-beza.
Ada segelintir pihak yang beranggapan, permainan e-sukan tidak bersesuaian dengan golongan itu, malah mereka lebih suka melihat wanita memberi tumpuan kepada 'urusan di dapur'.
Bagaimanapun tanggapan itu tidak sedikitpun menjejaskan minat pemilik akaun YouTube ‘Kambing Golek’ atau lebih dikenali sebagai Bing yang aktif memuat naik kandungan permainan e-sukan.
Menurut Bing, dia menerima beberapa komen termasuk kecaman terhadap dirinya yang gemarkan permainan e-sukan.
Menyedari bidang e-sukan yang kurang mendapat sambutan daripada golongan wanita, ia membuatkan dirinya tergerak untuk menceburi bidang tersebut.
“Pada permulaan memang terima macam-macam komen dan kecaman, tetapi saya tak hiraukan semua perkara itu.
“Apa yang lebih penting adalah pergaulan kita bersama individu sekeliling yang mempunyai aura positif selain berkongsi minat yang sama,” katanya ketika sesi perkongsian menerusi program Generasi YouTube pada Khamis.
Mengulas lanjut, Bing menyatakan, pada peringkat awal ia mungkin agak sukar selain mengambil kira tempoh untuk mengenali komuniti e-sukan tersebut.
Bagaimanapun katanya, segala perkara baharu perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebelum mencapai ke tahap yang lebih tinggi.
“Untuk peringkat awal bagi sesiapa yang berminat dengan e-sukan boleh mula sertai kumpulan wanita dan dari situ kita akan mula berkembang dan mengenali komuniti dengan lebih luas.
“Ia sebenarnya bergantung kepada individu, sama ada untuk cari minat yang sama atau sebaliknya.
“Hakikatnya, kita memang tak dapat nak halang komen atau tanggapan sesetengah pihak terhadap golongan wanita yang menceburi bidang e-sukan,” katanya lagi.
Bermula hanya dengan memuat naik video mengenai aktiviti e-sukan, saluran YouTube Bing pada ketika itu hanya mempunyai hampir 5,000 pengikut.
Namun siapa sangka, wanita yang gemar dengan permainan e-sukan itu kini memiliki hampir 500,000 pengikut yang menantikan kandungan di salurannya.