Wan Zack dan Wan Zaharulnizam ditawar beraksi bersama FC Ryukyu
Astro Awani
Februari 2, 2013 21:22 MYT
Februari 2, 2013 21:22 MYT
Ketika peminat masih terkejut dengan kepulangan pemain harapan negara Nazmi Faiz ke tanah air, ada perkhabaran gembira dari kem Harimau Muda A di Australia.
Ketua Jurulatihnya, Ong Kim Swee mendedahkan dua pemainnya iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria ditawarkan kontrak oleh kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu.
Kedua-dua pemain tersebut telah menjalani ujian bersama pasukan itu pada Julai 2012.
Kim swee memaklumkan kelab itu menghubunginya bulan lalu dan menyatakan hasrat mereka untuk mengikat kontrak dengan Wan Zack dan Wan Zaharulnizam.
Pengendali itu yakin kedua-duanya dapat menimba pengalaman berharga dengan aksi di Jepun berdasarkan tahap dan kualiti liga di sana.
Tambah Kim Swee lagi, Wan Zack dan Wan Zaharulnizam kemungkinan akan mengikat kontrak sekurang-kurangnya dua tahun tetapi keputusan akhir masih belum diputuskan FAM.
Ia dikatakan berpunca dari tindakan mengejut Nazmi yang juga bekas pemain Harimau Muda A dilepaskan dari kelab Portugal, SC Beira-Mar untuk menyertai PKNS Selangor.