Walau tanpa pemain utama, Harimau Malaya mampu raih kemenangan besar - Pan Gon
Bernama
Jun 10, 2024 22:25 MYT
Jun 10, 2024 22:25 MYT
PETALING JAYA: Walau turun tanpa beberapa pemain, Malaysia masih mampu melakar kemenangan besar ke atas Taiwan dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Kemenangan besar itu akan menghidupkan semula peluang skuad kendalian Kim Pan Gon untuk mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak awal ke Piala Asia 2027, namun ia bergantung kepada keputusan satu lagi pertembungan membabitkan Oman dan Kyrgyzstan di Muscat.
Keputusan seri 1-1 dengan Kyrgyzstan di Bishek minggu lepas menambah tekanan buat skuad Harimau Malaya yang perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tujuh gol ketika menentang Taiwan walaupun beraksi tanpa beberapa pemain utama berikutan mengalami kecederaan seperti Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi.
Bagaimanapun, pengendali dari Korea Selatan itu berkata pasukannya tidak pernah bergantung kepada satu atau dua pemain sahaja, sebaliknya menerapkan taktik berasaskan pasukan.
"Saya pernah katakan sebelum ini, kita tidak bergantung kepada satu atau dua pemain, kita bermain sebagai satu pasukan. Saya selalu bercakap mengenai pasukan bukan individu, saya tidak pernah salahkan individu...saya bercakap dengan pemain kita dan katakan bahawa kita mempunyai cukup tenaga pemain (untuk perlawanan esok).
"Pemain telah tunjukkan bahawa kita boleh bersaing dengan pasukan di ranking ke-100 Kyrgyzstan, di tempat lawan, kita banyak mencipta peluang berbanding pasukan lawan. Pada saya, tanpa beberapa pemain utama tidak penting, kita ada pemain lain yang juga bagus...ia sudah mencukupi untuk saya," katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia bertemu Taiwan di Wisma FAM, di sini hari ini.
Pan Gon berkata beraksi di gelanggang sendiri juga menjadi kelebihan kepada Harimau Malaya yang akan lebih bersemangat untuk perlawanan esok.
Beliau berkata Malaysia melakar keputusan positif ketika beraksi di lama sendiri berdepan pasukan di ranking lebih rendah dengan statistik perlawanan turut berpihak kepada pasukan negara termasuk pernah menang 10-0 menentang Papua New Guinea pada aksi persahabatan Tahap 1 tahun lepas.
"Menentang Papua New Guinea yang juga pasukan di ranking lebih baik kami menjaringkan 10 gol, sudah tentu kekuatan kita masa ini sedikit berbeza tapi bagi pasukan lawan ia sentiasa sukar beraksi di Bukit Jalil. Kita mempunyai penonton yang besar, peminat, Ultras Malaya - persekitaran dan cuaca.
"Jadi, harap esok semua peminat bola sepak boleh datang memenuhi stadium untuk mencipta persekitaran terbaik, menyokong kami untuk memberi tekanan kepada pasukan lawan," katanya.
Sementara itu, Pan Gon berkata skuad bimbingannya sudah siap sedia untuk menghadapi sebarang risiko dalam pertembungan esok.
"Semua pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, dan taktikal yang kita akan guna sedikit berisiko tapi kita rasakan ia akan berhasil. Jadi, sehingga hari ini kami akan membetulkan sesuatu dalam usaha ke pusingan ke-18 (pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia)," katanya.
Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan di tangga kedua dengan kelebihan gol, manakala Oman mengungguli kumpulan dengan 12 mata dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Sekiranya gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia akan bersaing dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bagi memburu tempat ke kejohanan itu.
-- BERNAMA