Wajar dikenakan hukuman elak insiden berulang

Sinar Harian
Mac 6, 2022 07:50 MYT
Aksi Liga Super antara KL City FC dan Selangor FC di Cheras Jumaat lalu dicemari insiden kekecohan penyokong di pekarangan stadium setelah perlawanan tamat. - Foto Sinar Harian/media sosial
INSIDEN kekecohan hingga melibatkan pergaduhan penyokong bola sepak tidak seharusnya berlaku lagi terutamanya ketika arena bola sepak negara memasuki era profesional dan penswastaan sepenuhnya ketika ini.
Menurut pemerhati bola sepak yang juga bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, ia secara keseluruhannya menggambarkan pemikiran yang tidak matang dalam kalangan penyokong itu sendiri sekiranya insiden-insiden sedemikian masih berulang.
Justeru, katanya, pihak yang didapati terlibat dengan insiden seperti itu sewajarnya dikenakan hukuman berat oleh pihak berwajib dalam usaha memastikan ia tidak berulang lagi.
“Benda ni tak sepatutnya berlaku kerana kita dengar biasa pemain yang bergaduh di padang, tetapi kali ini penyokong pula.
“Provokasi itu perkara biasalah, janganlah ambil serius. Lagi pun perlawanan sudah habis, keputusan sudah dapat, takkan sampai bertumbuk? Apa untungnya? Kita sudah bertamadun, bola ini hanya satu hiburan bukan sebagai satu benda yang boleh sampai bergaduh.
“Pergaduhan pula berlaku di luar stadium. Sepatutnya, di bandar orang lebih bertamadun berbanding jika bermain di kampung-kampung atau di luar bandar, jadi gunakanlah kematangan itu untuk berfikir,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
BACA: MFL kesal dengan budaya samseng bola sepak
Untuk rekod, aksi Liga Super antara KL City FC dan Selangor FC di Cheras Jumaat lalu dicemari insiden kekecohan penyokong di pekarangan stadium setelah perlawanan tamat.
Sementara itu, Jamal Nasir bersetuju dengan hukuman berat yang boleh dikenakan kepada pihak terlibat insiden sedemikian.
Oleh itu, katanya, pemantauan perlu diperketatkan lagi dalam usaha mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat.
“Biasanya mereka terlibat ini kelompok kecil sahaja dan jika berjaya ditangkap, hukuman berat boleh dikenakan seperti denda, dilarang memasuki stadium. Kita di Malaysia malah di seluruh dunia pun memang tidak membenarkan kewujudan kelompok hooligan bola sepak atau kita gelar samseng bola sepak ini,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#samseng bola sepak #pergaduhan penyokong #hukuman berat #Jamal Nasir Ismail
;