Wai Ching masih "dihantui" kegagalan di Shanghai, sekadar di tempat kedua larian Menara KL 2024
Bernama
Disember 8, 2024 18:15 MYT
Disember 8, 2024 18:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelari menara nombor satu negara, Soh Wai Ching masih belum dapat melupakan kegagalan di Shanghai selepas sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KL) 2024, di sini hari ini.
Wai Ching yang kecewa dengan persembahannya hari ini berkata catatan masa 8 minit 16 saat adalah 12 saat lebih perlahan daripada sasaran yang ditetapkan untuk mempertahankan kejuaraan di tanah air.
“Saya menjangkakan catatan masa yang jauh lebih baik, sekurang-kurangnya di bawah lapan minit kerana masa terbaik saya tahun lepas adalah 7 minit 55 saat. Saya adalah pemegang rekod larian ini, tetapi tahun ini mereka (penganjur) telah menambah satu tingkat lagi sebagai garisan penamat.
“Ia tambahan 32 langkah, jadi berdasarkan pengiraan saya daripada prestasi tahun lepas, 7.55 ditambah dengan 32 langkah, itu akan memberi saya 8.03 atau 8.04 jika saya dapat mengekalkan atau melakukan apa yang telah saya lakukan tahun lepas,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah hari ini.
Juara Dunia Larian Menara 2024 itu berkata beliau akan berbincang dengan jurulatih untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan dan mendapatkan sokongan psikologi bagi mencari semula rentak dalam sukan yang begitu dekat di hatinya.
Wai Ching terlepas ranking No. 1 dunia selepas menduduki tempat ke-11 pada Maraton Menegak Antarabangsa Menara Shanghai bulan lepas, apabila keracunan makanan memberi kesan teruk kepada prestasi dan menghalangnya daripada melakukan catatan terbaik peribadi atau bersaing untuk kemenangan.
Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara KL 2024 terbahagi kepada kategori terbuka, veteran dan junior, yang masing-masing dibahagikan kepada lelaki dan wanita dengan jumlah hadiah keseluruhan RM80,000 dan disertai 1,500 peserta dari 15 negara.
Edisi kali ini menetapkan standard baharu yang memerlukan peserta mendaki 1,608 anak tangga untuk sampai ke Dek Pemerhatian pada ketinggian 292 meter berbanding 1,576 anak tangga pada edisi sebelum ini.
Sementara itu, Piotr Lobodzinski, bekas juara dunia lelaki dua kali dari Poland muncul pemenang bagi kategori terbuka lelaki dengan catatan masa 08:08s, untuk membawa pulang hadiah berjumlah RM15,000.
Beliau yang membuat penampilan pertama di Kuala Lumpur mengaku gembira di atas kemenangan itu dan berharap untuk kembali menyahut cabaran ini pada tahun depan.
“Kunci kejayaan saya hari ini adalah mengekalkan rentak secara konsisten. Saya bermula dengan kelajuan yang sederhana, tidak terlalu cepat, dan kemudian meningkatkan kelajuan saya pada separuh kedua perlumbaan. Strategi ini membantu saya untuk mengekalkan tenaga hingga ke puncak, walaupun saya sangat letih ketika sampai ke garisan penamat.
“Cuaca sangat panas (di Malaysia). Saya dari Poland, suhu ketika ini sekitar 0 darjah Celsius dan bersalji. Bersaing dalam suhu 30 darjah Celsius dengan kelembapan yang tinggi merupakan satu cabaran besar buat saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Nazli Saad meluahkan rasa gembira di atas penganjuran acara ini sempena ulang tahun ke-28 Menara KL.
Beliau berkata perlumbaan kali ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya bukti kepada ketahanan manusia, cita-cita, dan kekuatan perpaduan.
-- BERNAMA