Wai Ching intai pahat nama dalam GWR di Bangsar, Jumaat ini
Bernama
April 4, 2023 05:45 MYT
April 4, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, berazam untuk sekali lagi mencipta nama dalam Guinnes World Records (GWR) untuk cabaran 'Jarak Simulasi Paling Jauh Mendaki Di atas Mesin Tangga Dalam Satu Jam (Lelaki)' sempena Hari Kesihatan Sedunia, Jumaat ini.
Atlet berusia 28 tahun itu, bagaimanapun, berdepan cabaran getir kerana beliau perlu mendaki purata 131 anak tangga seminit untuk mencapai sasaran 7,816 langkah atau 1.61 kilometer (KM) untuk pencapaian dunia yang ditetapkan oleh GWR.
Ia bersamaan dengan empat kali ketinggian Menara KL (4 x 421meter = 1,684m).
Wai Ching berkata, walaupun percubaan pencapaian dunia itu diadakan di Technogym Experience Centre di Bangsar, di sini, akan mencabar, namun eliau yakin dengan kemampuannya untuk mencapai matlamatnya.
Setiap langkah berukuran 20.6 sentimeter (sm) di mana dalam masa sejam saya perlu melakukan sekurang-kurangnya 7,800 langkah. Pasti yakin untuk mencapai itu, cuma saya mahu mencipta rekod lebih tinggi supaya atlet lain tidak dapat mengatasinya, " katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Sempena Hari Kesihatan Sedunia, Wai Ching menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dengan menaiki tangga dan sentiasa bergerak untuk membakar kalori.
Wai Ching sebelum ini memegang GWR untuk cabaran pendakian tangga menegak dalam tempoh satu jam (Lelaki) dengan jarak 1.295km, bertempat di Hotel Four Seasons, di sini, pada November 2020.
Bagaimanapun, atlet Sepanyol, Christian Rodriguez mengatasi rekod tersebut dengan jarak 1,457km, pada November lalu.
-- BERNAMA