Wabak Zika: Belum ada perancangan tarik diri Olimpik Rio - Khairy

Israr Khalid
Mei 16, 2016 14:32 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama para pelatih Akademi Kapten Bas Rapid pada majlis menandatangani MOU antara KBS dengan Prasarana Malaysia Berhad hari ini. - Foto
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan tiada sebarang perancangan untuk negara menarik diri daripada penyertaan di Sukan Olimpik Rio biarpun wabak Zika sedang menular di Brazil.
Katanya, Malaysia setakat ini tetap akan menghantar kontinjen dan segala persiapan berjalan seperti yang direncana.
Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga tetap diambil menerusi Institut Sukan Negara yang memantau rapat perkembangan tahap kesihatan di negara penganjur itu serta kesiap siagaan kontinjen negara khususnya dari aspek perlindungan kesihatan.
"Terutamanya bagi pegawai, jurulatih dan atlet yang sudah layak, kita maklumkan kepada mereka asas sanitasi supaya mereka faham dan dapat mencegah kemungkinan dijangkiti virus.
"Setakat ini tiada lagi negara lain yang menarik diri," katanya selepas menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian dan Sukan dengan Prasarana Malaysia Berhad di sini, hari ini.
Brazil mula dijangkiti virus Zika tahun lepas dan sejak itu telah merebak ke 50 negara.
Rio De Janeiro sahaja mencatat 26,000 orang yang disyaki dijangkiti wabak tersebut, menjadi bandar paling banyak dilaporkan kes jangkitan di Brazil.
Seorang profesor dan ahli biologi Kanada, Amir Attarin menerusi artikel dalam Harvard Public Health Review terbitan minggu ini mencadangkan agar sebaiknya temasya sukan terbesar dunia itu ditangguhkan atau dialihkan penganjurannya ke tempat lain.
Dengan jangkaan lebih 500,000 pelancong luar akan masuk ke negara Amerika Selatan itu, ia dikhuatiri mempercepat penularan wabak seterusnya menyukarkan usaha membangunkan vaksin merawat wabak tersebut.
#Brazil #KHAIRY #KJ #Rio Olimpik #virus #Zika
;