Vondrousova pemain keempat Czech rangkul kejuaraan Wimbledon
Sinar Harian
Julai 15, 2023 04:30 MYT
Julai 15, 2023 04:30 MYT
BINTANG tenis Czech, Marketa Vondrousova mengejutkan Ons Jabeur dari Tunisia 6-4, 6-4 untuk menjadi pemain bukan pilihan pertama dalam era profesional memenangi gelaran perseorangan wanita Wimbledon.
Pemain kidal berusia 24 tahun itu, yang memerlukan pembedahan pergelangan tangan setahun lalu, terbukti terlalu mantap menafikan hasrat Jabeur yang merupakan naib juara tahun kedua kejuaraan tersebut berturut-turut.
Sebagai rekod, Jabeur membida untuk menjadi pemain Arab pertama memenangi gelaran Grand Slam dan wanita Afrika pertama menjulang satu daripada empat trofi utama ternyata jauh di bawah yang terbaik.
“Ini adalah kehilangan paling menyakitkan dalam kerjaya saya,” kata Jabeur yang berusia 28 tahun sambil menahan air mata selepas perlawanan akhir di The All England Lawn Tennis Club pada Sabtu.
Vondrousova, pemain pertama mara ke dua perlawanan akhir Grand Slam sebagai pemain bukan pilihan setelah bertanding dalam penentuan Terbuka Perancis 2019.
Dia menjadi pemain keempat kelahiran Czech yang memenangi gelaran dalam era profesional selepas Martina Navratilova, Jana Novotna dan Petra Kvitova. - Sinar Harian