Vivian-Khe Wei bersiap siaga hadapi cabaran Olimpik

Astro Arena
Julai 26, 2016 22:23 MYT
Persembahan cemerlang dalam beberapa pertandingan terakhir sebelum tempoh kelayakan tamat memberi keyakinan semula buat gandingan ini. - Gambar fail
GANDINGAN beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, bersedia menghadapi sekali lagi tekanan cabaran, kali ini dalam menghadapi Sukan Olimpik Rio.
Sejak bermulanya kempen kelayakan ke Olimpik, tidak dinafikan gandingan nombor satu negara ini mempunyai rekod persembahan turun naik.
Ketika wakil negara yang lain lebih selesa dalam acara masing-masing, kisahnya berbeza buat Vivian dan Khe Wei yang mengharungi kempen kelayakan begitu mendebarkan dan pada satu ketika hampir terlepas slot untuk ke Rio.
Namun, persembahan cemerlang dalam beberapa pertandingan terakhir sebelum tempoh kelayakan tamat memberi keyakinan semula buat gandingan ini.
Mengakui tertekan sepanjang proses untuk melayakkan diri ke Olimpik, Vivian yakin prestasinya akan memuncak di Rio nanti.
"Saya rasa semakin dekat dengan Olimpik, tekanan pasti akan ada. Namun, saya yakin mampu tangani tekanan dengan baik dan (seperti) kami melayakkan diri beraksi di Olimpik.
"Olimpik adalah tempat untuk atlet terbaik beraksi, jadi saya perlu lakukan yang terbaik dan akan beraksi habis-habisan," kata Vivian.
Buruan pingat bukannya sesuatu yang mudah, apatah lagi di saingan peringkat tertinggi seperti Olimpik. Namun, kejayaan meraih emas di Sukan Komanwel Glasgow 2014 menjadi pemangkin buat mereka mencipta impak yang sama di Rio.
"Sejak dari tahun lepas, kami mula merasakan tekanan sebab prestasi kami tidak menentu dan ramai yang menjangkakan kami tidak layak ke Olimpik.
"Pada 2012, saya terlepas peluang untuk melayakkan diri ke Olimpik. Jadi, ini adalah peluang saya untuk membuktikan saya mampu beraksi dengan baik di Olimpik," kata Khe Wei.
#badminton #gandingan beregu wanita #Olimpik Rio #Vivian Hoo Kah Mun #Woon Khe Wei
;