Vinicius Junior, Aitana Bonmati rangkul anugerah pemain terbaik FIFA
Agensi
Disember 18, 2024 08:00 MYT
Disember 18, 2024 08:00 MYT
DOHA: Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior meraih anugerah Pemain Lelaki Terbaik pada majlis The Best FIFA yang berlangsung di sini, awal pagi tadi.
Pada acara itu juga, pemain tengah Barcelona, Aitana Bonmati merangkul anugerah bagi kategori wanita buat kali kedua.
Anugerah itu hadir dua bulan selepas Vinicius yang berusia 24 tahun menduduki tangga kedua Ballon d'Or, dengan Real memilih untuk memboikot majlis itu apabila mereka mengetahui lebih awal pemain tengah Manchester City, Rodri memenangi trofi itu.
Namun pemain Brazil itu kali ini hadir menerima anugerah di Qatar bersama kelabnya menjelang aksi final Piala Antara Benua menentang kelab Mexico, Pachuca awal pagi esok.
"Terima kasih tidak terhingga. Saya tidak tahu di mana mahu bermula. Mustahil untuk memikirkan saya boleh sampai ke sini. Saya dibesarkan dalam dunia kemiskinan, jenayah terancang. Ia buat semua kanak-kanak yang membesar di dunia itu. Saya berterima kasih kepada semua yang mengundi saya," kata Vinicius semasa berucap selepas menerima anugerah itu.
"Terima kasih kepada keluarga saya, kepada kelab, kepada rakan sepasukan, kepada Carletto (jurulatih Madrid Carlo Ancelotti), yang sering membantu saya.
"Kepada setiap orang yang membantu menjadikan impian saya satu kenyataan. Saya harap untuk berada di Madrid bertahun-tahun lamanya, kerana ia kelab terbaik di dunia. Kepada Flamengo (kelab pertamanya di Brazil). Kepada rakan sepasukan saya dalam pasukan kebangsaan. Juga kepada negara saya, yang sering menyokong dalam setiap kerja saya."
Vinicius menggantikan Lionel Messi sebagai pemain lelaki terbaik FIFA selepas bintang Argentina itu merangkul dua edisi terakhir anugerah.
Penyerang itu menjaringkan 24 gol dan melakukan 11 umpanan gol dalam 39 perlawanan bagi semua pertandingan ketika dia mengemudi Real meraih kejuaraan berganda La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu.
Sesudah melengkapkan kejuaraan La Liga ketiganya pada Mei, Vinicius memastikan trofi Liga Juara-Juara kedua dalam kariernya apabila Real menewaskan Borussia Dortmund 2-0 pada 1 Jun.
Vinicius berada dalam senarai penjaring di Wembley dengan penamat memukau dalam 10 minit terakhir untuk memastikan kejuaraan berada dalam genggaman mereka.
Pemain Sepanyol berusia 26 tahun, Bonmati meraih anugerah pemain terbaik wanita FIFA buat tahun kedua berturut-turut, menambah dua trofi Ballon d'Or yang sudah dimenanginya sebelum ini.
"Saya bersyukur, saya bangga untuk menerima anugerah ini," kata Bonmati menerusi pautan video dari Stadium Olimpik, Barcelona.
Musim lalu, Bonmati mengemudi Barcelona bagi pencapaian bersejarah tiga kejuaraan sebenua dan merangkul kejuaraan Liga Negara-Negara bersama pasukan kebangsaannya.
Dia memenangi setiap trofi bersama kelabnya pada 2023-24 – liga Sepanyol, Copa de la Reina, Supercopa de Espana dan Liga Juara-Juara Wanita kali kedua berturut-turut.
Bonmati menjaringkan satu gol dan memperagakan aksi pemain terbaik perlawanan ketika Barcelona menundukkan Lyon 2-0 pada final Liga Juara-Juara untuk meraih kejuaraan ketiga mereka dalam empat musim.
Penyerang Manchester United dari Argentina, Alejandro Garnacho memenangi anugerah Puskas bagi gol terbaik tahunan susulan sepakan guntingnya menentang Everton dalam Liga Perdana Inggeris. - Agensi