Villa lantik Unai Emery ganti Steven Gerrard
Astro Arena
Oktober 25, 2022 09:10 MYT
Oktober 25, 2022 09:10 MYT
ASTON Villa telah mengesahkan pelantikan Unai Emery sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu, berikutan pemecatan Steven Gerrard.
Bekas bos Arsenal itu kembali ke Liga Perdana Inggeris (English Premier League) selepas membina semula reputasinya dengan kejayaan di Villarreal, merangkul kejayaan Liga Europa pada 2021 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.
Villa, yang menghentikan rentetan aksi hambar dengan membelasah Brentford 4-0 Ahad lalu di bawah jurulatih pasukan utama Aaron Danks, mengesahkan pengendali Sepanyol itu akan mengambil alih jawatannya pada 1 November dan tidak akan berada bersama pasukan untuk perlawanan bertemu Newcastle United.
Ini bermakna tugas pertama Emery adalah ujian berturut-turut menentang Manchester United, melayan kunjungan pasukan Erik ten Hag dalam Liga Perdana pada 6 November sebelum bertandang ke Old Trafford empat hari kemudian dalam Piala EFL.
Emery kemudiannya akan membawa Villa ke pertembungan EPL dengan Brighton and Hove Albion, perlawanan terakhir sebelum musim berhenti seketika untuk Piala Dunia di Qatar.
Kemenangan Villa menentang Brentford, yang pertama mereka dalam empat perlawanan EPL, membawa pasukan itu ke tangga ke-15 dalam jadual, tiga mata di atas zon penyingkiran.