Villa buat Leicester gigit jari ke final

Astro Arena
Januari 29, 2020 11:39 MYT
Trezeguet dikerumuni rakan sepasukannya selepas dia menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan separuh akhir Piala Liga English antara Aston Villa dan Leicester City di Villa'Park, Birmingham, England, 28 Jan, 2020. (Foto AP)
ASTON VILLA 2 LEICESTER CITY 1
(Aston Villa mara dengan agregat 3-2)
Dean Smith amat berbangga untuk mengetuai Aston Villa di Wembley kelak selepas mereka menundukkan Leicester City 2-1 secara dramatik untuk menempah tempat dalam final Piala Liga Ingggeris (EFL).
Pertembungan di Villa Park awal pagi tadi itu seakan-akan bakal diheret ke masa tambahan selepas Kelechi Iheanacho mengimbangi jaringan pembukaan Matt Targett.
Bagaimanapun, Trezeguet menyambut hantaran silang Ahmed El Mohamady dengan sepakan voli lalu menuju ke arah penjuru kanan gawang yang membuatkan penyokong berpesta.
Villa, yang memenangi trofi itu pada 1996 dan muncul finalis pada 2010, bakal menghadapi sama ada Manchester City atau Manchester United, yang menyaksikan skuad bimbingan Pep Guardiola itu memiliki bekalan 3-1 menjelang pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Etihad awal pagi esok.
"Saya bersikap tenang terhadap jaringan itu. Ia hadir ketika penghujung permainan, jadi ia agak beremosi buat semua orang apabila bola itu masuk dan ia bingkas mencetuskan keterujaan," kata pengurus Villa itu kepada Sky Sports.
"Untuk layak dan menang pada saat-saat akhir seperti yang kami lakukan ini -- kami telah melakukannya ketika menentang Watford pada minggu lalu -- dan kami sekali lagi mengulanginya.
"Untuk membawa kelab ini menuju ke Wembley, kami mempunyai sejarah yang hebat dan boleh dibanggakan dalam kejohanan ini dan saya pasti akan menjadi seorang yang sangat bangga untuk membawa mereka menjejakkan kaki di Wembley kelak."
Oleh kerana penjaga gol, Pepe Reina, terlepas perlawanan itu akibat masalah betis, Orjan Nyland tampil buat pertama kalinya di depan gawang sejak melepaskan enam gol ketika menentang City pada 12 Januari lalu apabila melakukan lima aksi menyelamat sepanjang tempoh 90 minit itu.
"Penjaga gol kami melakukan tiga tindakan menyelamat yang hebat pada awal permainan, dua percubaan dan satu lagi terkena palang," kata Smith.
"Tetapi saya fikir kami juga agresif dan ia adalah satu perlawanan yang menarik dengan kedua-dua pasukan cuba memenanginya.
"Kami sering (mempunyai tabiat melakar kemenangan lewat) dan ia sudah tentu masa yang baik untuk menjaringkan gol kerana berdasarkan keriuhan di stadium, penyokong sedar adalah sangat sukar untuk bangkit.
"Saya bangga kerana pemain bermain agresif, mempunyai peluang dan mencipta peluang yang menjadikan perlawanan ini sangat sengit."
Pengurus Leicester, Brendan Rodgers, berasakan pasukannya lebih berhak menang dan kecewa apabila mereka tidak diberikan sepakan penalti dalam babak pertama selepas percubaan James Maddison terkena lengan Nakamba.
"Saya fikir kami telah beraksi dengan sangat baik. Penjaga gawang mereka memperagakan ketangkasan yang luar biasa, kami pula mempamerkan kawalan dan kesungguhan selain mencipta peluang," katanya kepada Sky Sports.
"Jelas sekali bola terkena tangan. Sudah pasti ia adalah penalti, jadi saya berasa kasihan kepada pemain kerana mereka telah mencurahkan segala-galanya dalam perlawanan ini, terutama apabila terpaksa bangkit dan mereka beraksi dengan tenang serta menyumbat gol yang sangat baik.
"Pada penghujung permainan, saya anggap hanya sebuah pasukan yang akan menang tetapi kami gagal mengekang hantaran silang itu.
"Sukar untuk merenung kembali dua perlawanan terakhir kami ini. Apapun, tahniah kepada Aston Villa, mereka mara dan kami perlu lupakan kekalahan ini."
#Aston Villa #EFL #Leicester City #Mahmoud Ahmed Ibrahim Hassan #Pep Guardiola #Piala Liga Ingggeris #Trezeguet
;