Vikneswaran pertahan jawatan Presiden KLHA
Bernama, Ben Dolnick
Februari 23, 2025 21:30 MYT
Februari 23, 2025 21:30 MYT
Vikneswaran berkata beliau akan memberi fokus kepada membangunkan akar umbi sukan hoki negeri. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: I Vikneswaran mengekalkan jawatan sebagai presiden bagi penggal 2024-2025 Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan jawatankuasa persatuan itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MPM) di sini hari ini.
Pemilihan yang diadakan bersekali dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KLHA itu turut menyaksikan pencalonan bekas presiden Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bagi mencabar Vikneswaran dibatalkan.
Vikneswaran berkata ia selepas dokumen pencalonan yang dihantar Megat tidak lengkap dan persatuan telah menghantar notis pembatalan pencalonan pada 23 Jan lepas.
"Keputusan itu telah diambil oleh Pengerusi (Datuk Michael Wong), bukan kami, kami hanya mengikut apa yang dimaklumkan kepada kami," katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, pemilihan menyaksikan Joherman Amir mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden selain Datuk Rosal Azimin Ahmad, Nasrun Mustapha dan Jasbere Singh Poopindar kekal Naib Presiden.
Seorang lagi Naib Presiden baharu turut dilantik iaitu S Balakrishnan manakala Naib Presiden wanita kekal digalas Hebzibah Sudin.
Vikneswaran berkata beliau akan memberi fokus kepada membangunkan akar umbi sukan hoki negeri.
"Kalau kita mahu lihat pasukan kebangsaan ke Sukan Olimpik kita perlu lihat bermula di akar umbi, jadi kita perlu pastikan kita buat perkara yang betul," katanya.
Sebagai rekod, Vikneswaran bergelar presiden PHKL sejak 2022 selepas pernah memangku jawatan tersebut dan menggantikan penyandang Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.
-- BERNAMA