Vietnam sahkan hanya 11 jenis sukan yang dipertandingkan atas sebab ekonomi

Bernama
April 16, 2021 15:20 MYT
Kerajaan Vietnam dan pihak berkuasa berkaitan tidak dapat memenuhi cadangan Lembaga Gabenor (BoG) APSF atas sebab ekonomi serta kesukaran dalam menyediakan venue dan kemudahan akibat pandemik COVID-19.
KUALA LUMPUR: Vietnam mengesahkan hanya 11 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Para ASEAN edisi ke-11 di Hanoi pada Disember ini, walaupun terdapat permintaan untuk penambahan empat lagi sukan.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam (VIEAPGOC), mereka telah memaklumkan secara rasmi kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bahawa kerajaan Vietnam dan pihak berkuasa berkaitan tidak dapat memenuhi cadangan untuk memasukkan empat sukan tambahan itu.
"Kerajaan Vietnam dan pihak berkuasa berkaitan tidak dapat memenuhi cadangan Lembaga Gabenor (BoG) APSF atas sebab ekonomi serta kesukaran dalam menyediakan venue dan kemudahan akibat pandemik COVID-19," menurut VIEAPGOC hari ini.
Cadangan untuk menambah empat lagi sukan iaitu bola keranjang kerusi roda, bola sepak cerebral palsy (bola sepak CP), berbasikal dan bola tampar duduk kepada 11 sukan sedia ada dibuat BoG semasa pertemuannya pada 25 Feb lepas melibatkan semua 10 negara anggota.
Ia dibuat berdasarkan dapatan akhir penyataan minat (EOI) mengisytiharkan bahawa empat sukan itu melepasi kriteria pemilihan dengan lebih empat negara menyokong kemasukan sukan itu.
BoG sudah mengesahkan 11 sukan akan dipertandingkan dalam acara tahun ini iaitu olahraga, badminton, renang, pingpong, catur, powerlifting, boccia, judo, goalball, tenis berkerusi roda dan memanah.
Tahun ini Vietnam akan menganjurkan Sukan Para ASEAN buat kali kedua selepas 18 tahun, yang mereka kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN kedua pada 2003 menyaksikan hanya lima sukan dipertandingkan ketika itu.
Sebanyak 16 sukan dipertandingkan pada temasya Sukan Para ASEAN terdahulu yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2017 dan edisi ke-10 di Manila, yang dijadualkan pada Januari 2020 dengan 16 sukan dipertandingkan, tetapi dibatalkan akibat pandemik global COVID-19 pada awal tahun lalu.
-- BERNAMA
#Vietnam #Sukan Para ASEAN #Hanoi #jawatankuasa penganjur #ekonomi #venue #vieapgoc #APSF
;