Vietnam cadangkan 11 sukan di Sukan Para ASEAN 2021

Bernama
Disember 28, 2020 07:14 MYT
Bhavilai berkata Sukan Para ASEAN 2021 akan berlangsung di sekitar Stadium Nasional My Dinh dalam Daerah Nam Tu Liem. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam (VIEPGOC) mencadangkan 11 sukan untuk dipertandingkan di edisi ke-11 sukan dwitahunan yang bakal berlangsung dari 17 hingga 23 Dis 2021 di Hanoi, Vietnam.
Sukan yang dicadangkan ialah olahraga, badminton, renang, pingpong, catur, powerlifting, boccia, judo, goalball, tenis berkerusi roda dan memanah.
Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Mej Jen Osoth Bhavilai dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata bilangan sukan itu dikemukakan semasa mesyuarat eksekutif maya di ibu pejabatnya di Bangkok, Thailand semalam.
"Jawatankuasa Sukan APSF sudah melengkapkan langkah Pernyataan Minat (EOI) dan satu ringkasan EOI itu dibentangkan pada mesyuarat berkenaan," katanya.
Pengesahan dan pengendorsan ke atas bilangan dan jenis sukan yang akan dipertandingkan bakal diketahui pada mesyuarat Lembaga Pengelola (BoG) yang dijadualkan pertengahan Januari 2021," kata Bhavilai.
Bhavilai yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Paralimpik Thailand juga berkata Sukan Para ASEAN 2021 akan berlangsung di sekitar Stadium Nasional My Dinh dalam Daerah Nam Tu Liem.
Selain Stadium My Dinh, venue lain yang dicadangkan ialah Pusat Akuatik My Dinh, Gimnasium Cau Giay, Gimnasium Bac Tu Liem, Rumah Kebudayaan - Pusat Pertandingan dan Latihan Sukan Hanoi, Hanoi Athletic Palace dan Pusat Latihan Sukan Nasional Hanoi.
Bhavilai juga mendedahkan anggota exco APSF juga meminta penganjur mengeluarkan langkah-langkah dan prosedur operasi standard (SOP) khusus mengenai COVID-19 termasuk saringan dan proses kuarantin bagi tujuan memastikan keselamatan dan kesihatan peserta terjamin sebelum dan semasa sukan.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci semasa mesyuarat BoG bulan hadapan yang dijangka dihadiri oleh kesemua 11 presiden Jawatankuasa Paralimpik Nasional ASEAN (NPC).
Mesyuarat secara maya semalam dipengerusikan Bhavilai juga dihadiri kesemua ahli exco termasuk naib presiden (sukan) Vu The Phiet; naib presiden (pembangunan) Yi Veasna; naib presiden (media & komunikasi) Dr Kesone Sisongkam;
Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN buat kali kedua selepas edisi 2003 yang hanya mempertandingkan lima jenis sukan.
Sebelum ini APSF menyokong pembatalan Sukan Para ASEAN 2020 yang sepatutnya berlangsung Oktober ini di Filipina kerana pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#VIEPGOC #sukan #dipertandingkan #Osoth Bhavilai #Jawatankuasa Sukan APSF #Pernyataan Minat #EOI #Vietnam #Sukan Para ASEAN #bilangan sukan
;