Video promosi jersi baharu JDT ada kelas tersendiri, TMJ buat penampilan
Nizam Bakeri
Januari 16, 2016 21:30 MYT
Januari 16, 2016 21:30 MYT
SETELAH mengaum garang di peringkat Asia dengan merangkul Piala AFC dan mengatasi AC Milan dan Southampton dalam senarai kedudukan pasukan terbaik dunia, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus terbukti sebagai kelab elit yang mendorong kemajuan bola sepak tempatan.
Netizen kini memberi tumpuan kepada video promosi jersi baharu pasukan Harimau Selatan bagi Liga Malaysia musim 2016 kerana kualiti pembikinan yang tinggi.
Video tersebut menampilkan para pemain utama seperti Safiq Rahim, Safee Sali dan Amri Yahyah yang menyarung jersi tajaan Adidas bermain bola sepak di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.
Video yang memakan masa tiga minit itu mengingatkan para peminat bola sepak kepada video promosi jersi pasukan kebangsaan Brazil pada tahun 1998 yang antaranya dibintangi Ronaldo dan Romario.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut membuat penampilan istimewa dalam video tersebut dengan bersantai di dalam pesawat sambil memerhatikan pemain yang asyik menggelecek di kawasan landasan.