Video: Bagaimana Mo Salah tutup mulut penyokong Chelsea?
Ian Johan Ariff
April 15, 2019 11:26 MYT
April 15, 2019 11:26 MYT
PEREBUTAN gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018/2019 semakin rancak selepas Liverpool dan Manchester City masing-masing melakar kemenangan yang amat penting buat pasukan mereka.
Liverpool berjaya menewaskan Chelsea 2-0 pada Ahad untuk kembali ke puncak EPL dengan 85 mata namun beraksi dengan kelebihan satu perlawanan berbanding City.
Sebelum itu, City menewaskan Crystal Palace 3-1 untuk terus memastikan nasib kejuaraan masih di tangan mereka.
LIVERPOOL 2-0 CHELSEA
Liverpool menerima kunjungan Chelsea yang perlukan kemenangan untuk memastikan mereka mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan terbaik EPL.
Namun penguasaan the Reds tidak dapat ditandingi the Blues di Anfield, yang mendapat gol pertama menerusi tandukan Sadio Mane pada minit ke-51.
Mohamed Salah pula menjaringkan salah satu gol yang dianggap terbaik di EPL kurang dua minit kemudian.
Rembatan kencang dari luar kotak penalti di luar jangkauan penjaga gol Kepa Arrizabalaga.
CRYSTAL PALACE 1-3 MANCHESTER CITY
Raheem Sterling menjaringkan dua gol untuk memastikan City melakar kemenangan ke atas Palace.
Sterling meledak gol pertama pada minit ke-15 sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-63.
Palace memberi tentangan sengit dan memulakan misi kebangkitan dengan gol sepakan percuma, Luka Milivojevic pada minit ke-81.
Namun pemain gantian, Gabriel Jesus menamatkan perjuangan Palace dengan gol ketiga buat City pada minit terakhir permainan.
#Anfield
#Chelsea
#Crystal Palace
#EPL
#Gabriel Jesus
#Liga Perdana Inggeris
#Liverpool
#Manchester City
#MO SALAH
#Mohamed Salah
#Raheem Sterling
#Sadio Mane
#The Blues
#The Reds