VIDEO: Bagaimana Manchester City, Spurs & Chelsea lakar kemenangan?
Ian Johan Ariff
April 4, 2019 12:00 MYT
April 4, 2019 12:00 MYT
MANCHESTER City kembali ke puncak liga hasil ledakan Kevin de Bruyne dan Leroy Sane untuk membantu pasukan itu menang 2-0 ke atas Cardiff City di Stadium Etihad pada Rabu.
De Bruyne melepaskan rembatan dari ruang sempit di sebelah kiri kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol Cardiff City, Neil Etheridge seawal minit ke-6 selepas menerima hantaran Aymeric Laporte.
Seminit sebelum tamat babak pertama, Sane pula menyudahkan bola yang diberikan Gabriel Jesus hasil sepakan sudut.
City kini di puncak dengan 80 mata, satu mata dihadapan pencabar terdekat, Liverpool.
Sementara itu, Tottenham Hotspur melakar kemenangan di stadium baharu milik pasukan itu dengan menewaskan Crystal Palace 2-0.
Spurs bagaimanapun perlu menunggu sehingga minit ke-55 dalam babak kedua untuk berada di depan menerusi Heung-Min Son, yang menerima hantaran Christian Eriksen.
10 minit sebelum tamat, giliran Eriksen pula mencetak nama sebagai penjaring di Stadium Tottenham Hotspur.
Kemenangan menyaksikan Spurs kembali ke tempat ketiga liga dengan 64 mata, satu mata dihadapan Arsenal di tangga keeempat yang beraksi kurang satu perlawanan.
Chelsea pula melakar kemenangan 3-0 ke atas Brighton & Hove Albion di Stamford Bridge.
Olivier Giroud menjaringkan gol pertama menerusi hantaran silang Callum Hudson-Odoi pada minit ke-38.
Eden Hazard pula merembat gol kedua dari hujung kotak penalti selepas menerima hantaran Ruben Loftus-Cheek pada minit ke-60.
Tiga minit kemudian, giliran Hazard pula membantu Loftus-Cheek menjaringkan gol untuk the Blues melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Brighton.
Kemenangan menyaksikan Chelsea terus memberi tekanan kepada Manchester United, Arsenal dan Spurs dalam perebutan empat slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Chelsea di tempat kelima dengan 63 mata manakala United keenam dengan 61 mata.
#Brighton
#Cardiff City
#Chelsea
#Crystal Palace
#EPL
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester City
#Tottenham Hotspur