Vidal berang Barcelona tidak bayar bonus penuh
Astro Arena
Disember 29, 2019 11:20 MYT
Disember 29, 2019 11:20 MYT
ARTURO Vidal mengecam Barcelona kerana tidak bersikap adil selepas mendakwa dia belum menerima bonus berjumlah EUR2.4 juta (RM11 juta).
Menurut laporan akhbar Sepanyol, ABC, Vidal telah mengemukakan aduan terhadap pasukannya itu kepada pihak LaLiga dan Persatuan Pemain Bolasepak Sepanyol.
Pemain Chile itu dilaporkan hanya menerima EUR1.7 juta (RM7.8 juta) daripada jumlah keseluruhan, EUR4.1 juta (18 juta).
Vidal, yang dikaitkan dengan kepulangan ke Serie A bulan depan, jelas kecewa kerana tidak menerima bayaran sepatutnya tetapi menyerahkan isu itu kepada wakilnya.
"Saya tidak mengendalikannya, sebab itu saya mempunyai ejen, peguam untuk menguruskan segalanya," katanya.
"Tidak adil jika wang tersebut hilang tetap itu yang kami cuba ketahui pada hari ini."
Vidal hanya beraksi empat kali dalam kesebelasan utama Barca musim ini dan awal minggu ini, dia menolak untuk menafikan perpindahan ke Inter Milan dalam jendela perpindahan akan datang.
Namun, bekas bintang Juventus dan Bayern Munich itu -- yang hadir ke Barca menerusi yuran EUR18 juta (RM83 juta) pada Ogos 2018 -- tidak memikirkan masa depannya apabila pulang ke Chila untuk cuti perayaan Krismas.
"Menjadi subjektif untuk saya bercakap apabila sampai ke sini. Saya akan bercakap tentangnya apabila kembali ke Sepanyol," katanya.
"Saya sedang bercuti dan hanya mahu berbincang mengenai apa yang ada di sini."