Victoria, Australia menang bidaan tuan rumah Sukan Komanwel 2026
Bernama
April 13, 2022 08:00 MYT
April 13, 2022 08:00 MYT
SYDNEY: Negeri Victoria di Australia pada Selasa memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews berkata penganjuran temasya itu berdasarkan "model berbilang bandar" yang baharu, kerana acara akan berlangsung di beberapa kawasan luar bandar, lapor Xinhua.
Empat hab serantau akan ditubuhkan di Geelong, Bendigo, Ballarat dan Gippsland. Setiap bandar, dengan populasi di bawah 300,000, akan mempunyai program perkampungan sukan dan atletnya sendiri, dengan majlis perasmian bakal diadakan di Melbourne.
"Pemilihan Victoria sebagai lokasi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 adalah satu penghormatan. Kami tidak sabar untuk menyambut kunjungan dunia ke negeri kami," kata Andrews semasa mengumumkan kejayaan itu.
Acara itu dijangka menjana lebih A$3 bilion (kira-kira US$2.23 bilion) untuk ekonomi Victoria dan mewujudkan lebih 600 pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) Matt Carroll mengalu-alukan keputusan itu, sambil menambah ia akan memacu lagi sukan di Australia ketika Brisbane sedang bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032.
Temasya itu dijangka disertai 72 negara Komanwel yang akan bersaing dalam pelbagai acara sukan seperti badminton, kriket, hoki dan pingpong.
-- BERNAMA