Vicente yakin Malaysia layak ke Piala Asia 2027

Bernama
Disember 10, 2024 07:10 MYT
Vicente pada sidang akhbar pra perlawanan antara Malaysia dan Timor Leste pada kempen Piala AMEC 2024, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih kebangsaan Pau Marti Vicente yakin skuad Harimau Malaya mampu layak ke Piala Asia 2027 meskipun berdepan cabaran sengit pasukan pilihan, Vietnam, pada saingan peringkat kumpulan kempen kelayakan tahun depan.
Jurulatih dari Sepanyol berusia 41 tahun itu berkata pasukan kebangsaan sedang berkembang dan mempunyai sekumpulan pemain yang berada pada usia ideal untuk mengemudi Malaysia ke kejohanan berprestij itu untuk kali kedua berturut-turut.
"Saya selalu katakan bahawa pasukan ini tidak statik, ia berkembang. Kebanyakan pemain berada pada usia terbaik dan telah bermain bersama dengan sangat baik sejak tiga hingga empat tahun lepas.
"Setiap perlawanan penting, dan setiap daripadanya adalah sukar tapi saya percaya dengan kumpulan pemain yang ada ini. Pada akhirnya jurulatih bukanlah terpenting, tetapi pemain.
"Jika mereka bersatu, berjuang untuk satu sama lain, dan terus berkembang sebagai satu kumpulan, saya percaya mereka mampu capai (Piala Asia)," katanya pada sidang media praperlawanan Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia dan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos dengan hanya juara kumpulan layak ke saingan berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.
Sementara itu, pertahanan kebangsaan Dominic Tan berkata: "Setiap perlawanan antarabangsa adalah sukar, sudah tentu Vietnam adalah pasukan yang perlu kita berikan perhatian, bagaimanapun, setiap perlawanan ada cabaran menanti kita dan sudah pastinya kita mahu lakukan yang terbaik."
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan F apabila bertandang ke tempat lawan untuk berdepan Nepal pada 25 Mac tahun depan.
Terdahulu, Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke saingan Piala Asia 2023 di Qatar tahun ini.
Pada aksi di Qatar, Malaysia ketika itu di bawah bimbingan Kim Pan Gon menamatkan saingan di kedudukan tercorot Kumpulan E selepas mencatatkan dua kekalahan iaitu kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1).
Bagaimanapun pasukan negara mencipta detik bermakna apabila terikat 3-3 dengan juara dua kali Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan untuk membawa pulang satu mata berharga pada saingan itu.
-- BERNAMA
#ASEAN #harimau Malaya #Piala Asia #kempen kelayakan
;