Vicente optimis peluang Harimau Malaya menentang New Zealand
Bernama
Oktober 13, 2024 20:43 MYT
Oktober 13, 2024 20:43 MYT
KUALA LUMPUR: New Zealand mungkin pilihan dengan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri buat kali pertama dalam tempoh lebih 18 bulan, namun skuad Harimau Malaya tidak gentar menjelang perlawanan persahabatan di Stadium Go Media, Auckland, esok.
Jurulatih skuad kebangsaan Pau Marti Vicente yakin pasukannya mampu mencipta sejarah dengan meraih kemenangan pertama ke pasukan All Whites di halaman lawan yang bakal meningkatkan ranking dunia Malaysia yang kini di tangga ke-132.
Bercakap sebelum perlawanan menentang New Zealand, pasukan di ranking ke-95 dunia, Vicente mengakui pasukannya menghadapi tugas sukar menentang skuad tuan rumah yang sangat bermotivasi.
"Mereka mempunyai ramai pemain yang beraksi di liga utama Eropah dan New Zealand jarang bermain di gelanggang sendiri kerana pasukan kebangsaan biasanya bermain di luar, jadi kami perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan yang sangat sukar.
"Kami perlu bersiap sedia menghadapi perlawanan sukar ini dan memperbaiki permainan kami berdasarkan analisis terhadap pasukan mereka," kata Vicente.
Beliau turut berkata Harimau Malaya berpeluang memperbaiki kedudukan ranking dunia dengan sasaran untuk berada dalam kelompok bawah 130.
Menurutnya motivasi pemain tetap tinggi dengan kesemua 22 pemain dalam skuad berada dalam keadaan cergas tanpa kecederaan.
"Kami bernasib baik kerana tiada kecederaan dalam pasukan. Ini memberi peluang kepada kami untuk memberikan yang terbaik,"kata jurulatih dari Sepanyol itu dalam satu video yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada Jumaat, skuad Harimau Malaya terikat 1-1 menentang Auckland FC manakala New Zealand menewaskan Tahiti 3-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 di Vanuatu dengan penyerang Nottingham Forest Chris Wood antara penjaring gol.
Perlawanan persahabatan menentang Malaysia akan menjadi perlawanan pertama All Whites di tempat sendiri sejak menewaskan China 2-1 pada Mac 2023 kerana New Zealand telah bermain di tempat lawan menentang pasukan seperti Mexico, Amerika Syarikat, Ireland dan Greece.
Jurulatih New Zealand Darren Bazeley mahu mahu pasukannya memberikan persembahan bertenaga dengan beberapa jaringan untuk menggembirakan penonton di Auckland.
"Kami memahami pentingnya memberikan persembahan yang menghiburkan di hadapan penyokong sendiri. Selepas 18 bulan tidak bermain di tempat sendiri, perlawanan ini adalah peluang terbaik untuk kami berhubung semula dengan peminat," kata Bazeley pada sidang media.
Mengimbas rekod pertemuan sebelum ini, Malaysia hanya menang dua kali dan seri dua kali daripada 12 pertemuan dengan New Zealand. Perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan adalah pada Februari 2006, di mana New Zealand menewaskan Malaysia 2-1 di Auckland.
Perlawanan persahabatan ini bukan sekadar ujian besar buat Harimau Malaya tetapi juga peluang keemasan untuk mereka mencatat kemenangan bersejarah di bumi Kiwi.
-- BERNAMA